Kewajipan wanita solehah

Perkara-perkara yang harus diketahui oleh wanita solehah adalah bahawa dia mempunyai hak dan kewajipan serta tanggungjawab yang harus ditunaikan sebaik mungkin. Contohnya, kewajipan kepada agama, kewajipan kepada Allah SWT, kewajipan kepada diri sendiri, kewajipan kepada suami, kewajipan kepada kawan dan saudara, kewajipan kepada keluarga, kewajipan kepada anak-anak dan kewajipan kepada masyarakat. 

Kewajipan kepada agama bermaksud suatu perkara dari agamanya untuk dilaksanakan oleh seorang wanita contohnya menegakkan islam, berdakwah dan memperjuangkannya, dan mengagungkan syiar-syiarnya. Kewajipan kepada Allah SWT pula bermaksud kewajipan yang harus dilaksanakan seorang muslimah terhadap tuhannya. Kewajipan ini hampir sama dengan kewajipan kepada agama namun kewajipan kepada Allah SWT lebih dikhususkan agar lebih jelas. 

Contohnya, pertama, beribadah hanya kepada Allah SWT dan tidak menyekutukannya. Kedua, mencintai Allah SWT dan rasul-Nya lebih dari segala-galanya. Ketiga, sentiasa meningkatkan amalan soleh dengan memperbanyakkan ibadah. Keempat, memperbanyakkan zikrullah dan istighfar kepada Allah SWT. Kelima, berusaha berakhlak mulia. 

Kewajipan pada diri sendiri pula bermaksud suatu perkara yang harus dikerjakan oleh seorang wanita untuk kepentingan dirinya sendiri. Antaranya, mengembangkan potensi dirinya sendiri sama ada belajar sendiri ataupun aktif dalam pelbagai kegiatan keislaman, berusaha memiliki keterampilan mengikut kesesuaian statusnya dan menghindarkan diri dari segala hal yang berbaur negatif, menjaga kecantikan dan merawat diri dari segi lahiriah dan batiniah. 

Antara kewajipan kepada suami ialah mentaati apa yang diperintahkan oleh suaminya selama bukan perintah kepada kemaksiatan, selalu membuat rumahtangga berseri dengan menjaga kebersihan dan kerapian rumah mereka, menghibur suami ketika lara dan sentiasa berpenampilan menarik untuknya, berlaku sopan dan lemah lembut dalam segala tindak-tanduk kepadanya, menjaga kehormatan suami dan hartanya pada setiap masa, menjaga rahsianya, tidak menuntut nafkah melebihi kemampuan suami, memberikan nasihat dan pandangan kepada suami kepada suami ketika perlu, memelihara hubungan baik dengan keluarga suami, memenuhi keinginan batin suaminya, bersabar dengan sikap suami yang mungkin kurang menyenangkan dan yang paling penting ialah mencintai dan menyayangi suami. 

Antara kewajipan kepada kawan dan saudara pula ialah memberi tauladan terutama kepada adik-adiknya, memberi nasihat dan arahan yang baik, menghormati dan menghargai kawan dan saudara, selalu menjaga hubungan baik, mendoakan kebaikan dan keselamatan dan menolong apabila mereka memerlukan pertolongan. 

Wanita juga mempunyai kewajipan kepada anak-anak dengan cara mengajar dan mendidik mereka dengan cara Islam, mencintai dan menyayangi mereka, memberi makan dan pakaian yang halal kepada mereka, memberi mereka nama yang baik, menikahkan mereka apabila sudah sampai masanya, menghindarkan mereka daripada perkara-perkara negatif, menanamkan kecintaan dan keteladanan terhadap kehidupan para nabi dan para sahabat, mengajar mereka melakukan ibadah dan mendoakan kebaikan dan keselamatan mereka. 

Kewajipan kepada masyarakat pula ialah menghormati mereka, memenuhi hak-hak tetangga, membimbing masyarakat kepada kebenaran, mengikuti kegiatan masyarakat selagi tidak menjurus kearah kemaksiatan, bergaul dengan masyarakat dengan cara yang baik, saling tolong-menolong diantara masyarakat, bekerjasama dalam memelihara keamanan masyarakat dan menyantuni anak-anak yatim dan fakir miskin. 

Akhlak wanita solehah. 

Akhlak merupakan sifat yang tumbuh dan menyatu dalam diri seseorang. Dari sifat itulah terpancar sikap dan tingkah laku seseorang. Akhlak yang baik dan mulia akan menjadikan seseorang menjadi tertinggi dan terhormat. Begitu juga dengan wanita mereka perlulah mempunyai akhlak dan sifat yang terbaik selaras dengan tuntutan agama islam kita sendiri. Antara akhlak-akhlak yang perlu ada pada setiap diri wanita ialah akhlak kepada allah, akhlak kepada Rasulullah SAW, akhlak kepada kitab Allah, akhlak kepada diri sendiri, akhlak kepada anak, akhlak berkawan, akhlak berjiran, akhlak sesama muslim, akhlak sesama manusia, akhlak kepada bukan islam, akhlak tumbuh-tumbuhan, akhlak kepada haiwan, akhlak kepada air, akhlak semasa perjumpaan, akhlak ketika bertamu, akhlak ketika makan dan akhlak menggunakan jalan. 

Akhlak kepada allah bermaksud perbuatan seorang muslim terhadap allah sebagai tanda jiwa yang taat dan patuh dan segala yang dimiliki dari kehidupan peribadinya dan apa yang diperolehnya serta semua yang diterimanya adalah semata-mata kerana pemberian dan penghargaan dari Allah SWT. Contohnya, bertaqwa dan mengabdikan diri hanya pada allah yang bermaksud tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu dan dalam bentuk apa pun, berserah diri kepada ketentuan allah, bersyukur hanya kepada allah SWT, takut terhadap seksa allah dan takut melanggar perintah allah, berdoa dan meminta pertolongan allah, cinta dengan penuh harapan kepada allah dan takut kehilangan rahmat allah SWT. 

Akhlak kepada Rasulullah SAW pula ialah ikhlas beriman kepada Nabi Muhammad SAW, mengucapkan selawat serta salam, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud”Yang benar-benar orang bakhil adalah orang yang apabila disebut namaku dihadapannya tidak mengucapkan selawat kepadaku, ”. Selain itu, taat kepada Rasulullah SAW dimana allah telah mewajibkan pada setiap umat islam untuk taat kepada Rasulullah, cinta kepada Rasulullah SAW, percaya atas segala yang disampaikan oleh Rasulullah SAW, melaksanakan hukum allah dan Rasulullah SAW dan mencontohi akhlak terpuji Rasulullah SAW. 

Akhlak kepada kitab Allah pula ialah pertama, tidak membaca al-Quran kurang dari tiga hari. Kedua, membaca al-Quran harus khusyuk. Ketiga, membaca al-Quran dimulai dengan isti’azah dan basmalah. Keempat, membaca al-Quran dengan nada suara yang baik. Kelima, membaca al-Quran sesuai dengan ilmu tajwid. Keenam, fahami erti ayat al-Quran, dengarkan bacaan al-Quran, membaca al-Quran saling bergantian dan diantara fajar dan zuhur. Ketujuh, berdoa setelah membaca al-Quran. 

Akhlak kepada diri sendiri pula mempunyai tiga aspek iaitu sikap jujur dan sederhana, menjauhi sifat-sifat tercela dan berbakti kepada ibu bapa. Contoh akhlak kepada diri sendiri ialah hindarkan minum racun, hindarkan perbuatan yang tidak baik, memelihara kesucian jiwa seperti taubat, mendekatkan diri kepada Allah, muhasabah, taat beribadah dan menjadi seseorang yang pemaaf dan pemohon maaf. 

Sikap jujur dan sederhana pula ialah sederhana dan rendah hati, bijak dalam bertindak dan bercita-cita tinggi dalam menuntut ilmu, rajin bekerja keras, jujur, menepati janji dan amanah, istiqamah, sentiasa bersyukur dan berterima kasih dan akhir sekali berdisiplin. Menjauhi sifat-sifat tercela pula ialah khianat terhadap janji, buruk sangka, mencari kelemahan, mengumpat dan memfitnah orang lain, menghindarkan diri dari sifat pemabuk, penjudi serta melakukan zina, bersikap sombong, mementingkan diri sendiri, bersikap keras kepala, sikap boros tetapi juga tidak boleh bersikap kedekut dan bakhil, sifat tamak dan ingin selalu dibantu orang lain, hindarkan diri dari sikap lemah, malas dan penakut. 

Berbakti kepada kedua ibu bapa pula ialah berbicara dengan kata-kata yang baik, lindungi dan mendoakan mereka, hormati dengan bersikap terima kasih, menghubungkan silaturrahim seperti sabda Rasulullah SAW”Sesungguhnya sebaik-baik kebaikan adalah menghubungkan (memelihara) tali silaturrahim yang pernah dijalinkan oleh kedua ibu bapanya, ”. Menunaikan wasiat kecuali maksiat, menderhaka kepada mereka adalah berdosa besar dan membantu kedua ibu bapa. 


Akhlak kepada anak pula ialah memberi nama yang baik kepada anak-anak, menyembelih akikah sewaktu mencukur rambut, mengkhatankan anak-anak lelaki dan perempuan, memberi pendidikan dan pengajaran, mencarikan jodoh dan mengahwinkannya, memeberikan perlakuan yang baik terhadap anak. 

Akhlak berkawan pula ialah rendah hati dan tidak sombong, saling mengasihi, memberi perhatian terhadap keadaan sahabat contohnya saling menanyakan keadaan atau saling mengirim salam dan berita dan saling mengunjungi atau bersilaturrahim antara satu sama lain. Selain itu, selalu membantu keperluan sahabat, menjaga kawan dari gangguan orang lain, memberi nasihat dan kritikan, mendamaikan bila berselisih dan mendoakan kebaikan mereka. 

Akhlak berjiran pula ialah tidak boleh menyeksa atau menyakiti, tidak boleh mengambil hak-hak milik, tidak boleh menyebarkan rahsia tetangga, tidak boleh membuat bising, selalu memberi nasihat dan saling bertukar hadiah dan pemberian. 

Ahklak kepada sesama muslim ialah menghubungkan tali persaudaraan, saling tolong-menolong, menjaga keselamatan bersama, berlumba mencapai kebaikan, bersikap adil, tidak boleh mencela dan menghina, tidak boleh saling menuduh, tidak boleh saling enggan bertegur sapa, saling memberi salam, menziarahi mereka yang sakit, tidak bersikap iri hati dan dengki, melindungi keselamatan dan harta, tidak boleh bersikap sombong dan bersikap pemaaf. 

Akhlak kepada sesama manusia pula ialah menghormati perasaan manusia lainnya, memberi dan menjawab salam, pandai berterima kasih, memenuhi janji, tidak boleh mengejek dan jangan mencari-cari kesalahan. Ahklak kepada bukan islam pula ialah tidak boleh mengikuti kekufuran, benci terhadap kafir kerana Allah SWT, berbuat adil terhadap orang kafir, tidak boleh mencintai orang kafir, boleh membantu orang kafir yang menderita, jangan menghina orang kafir, tidak boleh meniru cara orang kafir dan tidak boleh memberi salam kepada orang kafir. 


Akhlak kepada tumbuh-tumbuhan pula ialah jaga keaslian semula jadi, jangan menebang pohon, jangan membuang hadas kecil di bawah pohon, peliharalah tanaman, tanamlah pohon yang mendatangkan manfaat dan bayarkanlah zakat dari hasil tanaman. Akhlak kepada haiwan pula ialah memberi makan dan minum, tidak mempermainkan binatang, menyembelih dengan baik, tidak menyeksa dengan cara apa pun dan membayar zakat. Akhlak kepada air ialah menjaga air daripada pencemaran, jangan membazirkan air dan berdoa ketika menggunakan air. 

Akhlak dalam perjumpaan ialah memberikan salam, jangan duduk di tengah lingkaran, menjadi pendengar yang baik, jangan menyinggung perasaan pendengar, bersikap lemah lembut dalam pergaulan, meminta kebenaran sebelum pulang dan tawakkal menerima keputusan. 

Akhlak ketika makan pula ialah mulakan dengan doa, pujilah Allah setelah makan, mencuci tangan sebelum makan, makan dengan tangan kanan, ambillah makanan yang jatuh, makan harus besederhana, makan bersama, jangan mencela makanan, jangan berbicara ketika makan, duduk sopan dan makanlah dari rezeki yang halal. 

Akhlak menggunakan jalan ialah sopan dan ramah dijalan, tidak boleh menyanyi dan bergurau diljalan, jangan menganggu orang yang mahu berjalan, menjaga penglihatan di jalanraya, wanita jangan mempamer perhiasan, berdiri menghormati orang yang membawa jenazah, jangan tinggalkan kawan, jangan membuang sampah dijalan, membuang duri dijalan dan membantu orang yang sesat dijalan. 

KESIMPULANNYA

Setiap wanita perlulah menunaikan kewajipan dan mengikuti akhlak-akhlak seperti yang telah dihuraikan semoga menjadi seorang yang berakhlak mulia dan solehah. InsyaAllah.. 

Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com