Memahami Pengertian Perkahwinan

Islam mensyariatkan perkahwinan untuk memenuhi naluri fitrah semula jadi manusia. Ia juga merupakan satu pengiktirafan sebuah ikatan yang sah dan halal. 

Sejarah perkahwinan
Agama-agama wahyu memperakui bahawa perkahwinan pertama di kalangan manusia berlaku antara Nabi Adam AS. bersama Hawa. Perkahwinan ini berlaku dengan suatu cara perhubungan yang dibenarkan oleh Allah SWT kepada mereka berdua. Ini merupakan suatu sistem perkahwinan yang disyariatkan bagi membiakkan manusia untuk memerintah Bumi dan mendudukinya buat sementara waktu. Selain al-Quran dan hadith, Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru turut menceritakan kejadian Adam dan Hawa sebagai pasangan pertama. Di dalam Perjanjian Lama atau Taurat, telah diselitkan beberapa ayat, antaranya yang bermaksud; “Tuhan telah berkata tidak baik Adam berkeseorangan sahaja, maka Aku jadikan seorang penolong sepertinya. ”

Berkenaan dengan perkahwinan anak-anak Adam sendiri tidaklah dapat diketahui bagaimanakah sistemnya yang sebenar. Di dalah Tafsir Ibn Kathir, apa yang diriwayatkan oleh Ibn Jarir daripada Ibn Masi’ud dari beberapa orang sahabat yang lain, bahawa mereka berkata yang bermaksud;
“Sesungguhnya tidak diperanakkan bagi Adam anak lelaki melainkan diperanakkan beserta anak perempuan, kemudian anak lelaki kandungan ini dikahwinkan dengan anak perempuan dari kandungan lain, dan anak perempuan bagi kandungan ini dikahwinkan dengan anak lelaki dari kandungan yang lain itu. ”
Pada masa itu, perkahwinan berlainan kandungan boleh dijadikan seperti perkahwinan berlainan keturunan. 

Pengertian perkahwinan

Perkahwinan dalam bahasa arab ialah nikah yang bermaksud dihimpun atau cantum. Pada istilah syara’ pula, perkahwinan bermaksud akad yang menghalalkan persetubuhan antara lelaki dan perempuan mengikut syarat tertentu. Terdapat firman Allah ta’ala yang bermaksud;

“dan kahwinkanlah orang-orang yang bujang (lelaki dan perempuan) diantara kamu, dan orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberi kekayaan kepada mereka dengan kurniaanNya, kerana Allah maha luas (rahmat dan limpah kurniaNya) , lagi maha mengetahui. ”

Hukum perkahwinan

Hukum perkahwinan terbahagi kepada 5 bahagian, yakni :

• Sunat bagi seseorang yang mempunyai keinginan untuk berkanwin tetapi masih bole dapat mengawal diri daripada zina serta berkemampuan zahir dan batin. 

• Wajib bagi seseorang yang mampu untuk berkahwin dan yakin tidak dapat menahan diri daripada melakukan perbuatan zina jika tidak berkahwin. Dia juga tidak mampu menghalang perbuatan keji itu dengan cara berpuasa. Dalam permasalahan ini boleh didahulukan perkahwinan dari naik haji kerana gusar penzinaan akan berlaku, tetapi jika dapat dikawal nafsu, maka ibadat haji yang wajib perlu didahulukan kerana beliau seorang yang berkemampuan dalam segala aspek. 

• Haram bagi seseorang yang yakin tidak mampu menunaikan kewajipan terhadap isterinya bahkan menzalimi dan memudaratkannya. 

• Makruh bagi seseorang yang bimbang tidak dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik atau tidak mempunyai keinginan untuk berkahwin sama ada sebab lemah syahwat, berpenyakit atau terlalu tua. 

• Harus bagi seseorang yang seimbang perasaannya. Jika tidak berkahwin tidak akan melakukan zina dan jika berkahwin tidak akan menzalimi isterinya. 


Tujuan dan hikmah perkahwinan

Setiap perkara yang berlaku di muka bumi ini ada hikmah atau tujuannya yang tersendiri. Begitu juga dengan ikatan perkahwinan ini. Terdapat beberapa hikmah perkahwinan, antaranya adalah untuk memenuhi fitrah manusia yang dijadikan Allah mempunyai nafsu antara lelaki dan perempuan. Selain itu, perkahwinan juga perlu untuk tujuan memperluaskan lagi hubungan kekeluargaan diantara keluarga lelaki dan perempuan. Apabila kita mengikat pertalian yang sah dengan seseorang, itu bermaksud kita juga sudah jadi sebahagian daripada keluarga tersebut. Dengan perkahwinan, kita juga dapat mengembangkan lagi masyarakat dengan zuriat dan keturunan yang soleh. Itu bermakna semakin bertambahlah khalifah-khalifah Allah di muka bumi ini. Dengan perkahwinan juga, kita dapat melahirkan zuriat yang baik. Oleh itu, dapatlah kita mewujudkan ketenangan dan kedamaian dalam jiwa manusia. Penyelesaian bagi mereka yang berkemampuan dan yakin tidak dapat menahan diri dari melakukan maksiat ialah berkahwin. Kerana dengan itu dapat menghalang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang haram seperti zina. Kita juga dapat menjaga maruah dan peradaban manusia dengan seimbang dan sejahtera. Selain itu, kita juga dapat menjaga akhlak daripada keruntuhan dan kemusnahan. Ini bermakna, tiada berlaku perselisihan faham atau permusuhan dari mana-mana pihak. 

Rukun2 dan syarat2 sah perkahwinan
Perkahwinan yang sah mengikut syarak ialah perkahwinan yang cukup syarat dan rukunnya. Rukun nikah mengandungi 5 perkara yakni:
Suami. Antara syarat sah calon suami ialah;

• Islam
• Calon suami mesti nyata seorang laki-laki. 
• Suami mesti orang yang halal nikah dengan perempuan yang akan dinikahinya (bukan muhrim) . 
• Suami hendaklah orang yang tertentu (tidak mempunyai isteri lebih tiga orang ketika menerima Kabul) . 
• Suami bukan di dalam ihram, sama ada ihram haji atau ihram umrah. 

Isteri. Antara syarat sah calon isteri ialah;

• Islam
• Calon isteri nyata seorang wanita. 
• Isteri bukanlah orang yang diharamkan kahwin sama ada sementara atau selamanya
• Isteri hendaklah orang yang tertentu (yang halal dinikahi) . 
• Perempuan calon isteri bukan dalam waktu ihram, sama ada ihram haji atau umrah. 

Wali. Antara syarat sah wali ialah;
• Islam. Orang kafir tidak boleh menjadi wali dalam perkahwinan. 
• Lelaki. Jamhur ulama’ berpendapat tidak sah perempuan menjadi wali. 
• Baligh. Kanak-kanak tidak sah menjadi wali. 
• Berakal sihat. Orang gila tidak sah menjadi wali. 
• Atas kemahuan sendiri. 
• Adil. Tidak melakukan dosa besar dan tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil serta tidak melakukan perkara yang menjatuhkan maruah. 
• Wali bukan dalam keadaan ihram, sama ada ihram haji atau umrah. 
• Selamat dari penyakit yang merosakkan penglihatan. 
Selain ada wali, nikah juga memerlukan dua orang saksi. Wali menikahkan (mengijabkan) dan saksi menyaksikan pernikahan itu. Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud;
“Tidak sah nikah kecuali ada dua orang saksi yang adil, nikah yang tidak demikian (tidak ada wali dan dua orang saksi) adalah batal”. 

2 Orang saksi. Antara syarat sah saksi ialah;
• Islam. Orang kafir tidak boleh menjadi saksi dalam perkahwinan. 
• Lelaki. Tidak sah perempuan menjadi saksi. 
• Adil. Tidak melakukan dosa besar dan tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil serta tidak melakukan perkara yang menjatuhkan maruah. 
• Berakal sihat. Orang gila tidak sah menjadi saksi. 
• Baligh. Kanak-kanak tidak sah menjadi saksi. 
• Dapat melihat. Tidak sah orang buta menjadi saksi. 
• Dapat mendengar. Tidak sah orang pekak menjadi saksi. 
Sighah (Ijab Dan Kabul) 

Ijab ialah lafaz yang diucapkan oleh wali kepada pengantin perempuan yang dinakahkan kepada pengantin laki-laki. Contoh lafaz (sighah) ijab:”Saya nikahkan engkau dengan anak saya bernama si pulan binti si pulan dengan maskahwin sebanyak dotdotdot ringgit tunai". 
Kabul pula ialah lafaz yang diucapkan oleh pengantin laki-laki selepas wali mengucapkan ijab. Contoh kabul:”Ku terima nikahnya dengan maskahwin dotdotdot ringgit tunai". Kalau maskahwin tidak berupa wang, sebutkan jenis atau nama barangnya. 

Antara syarat sah Ijab Kabul ialah;

• Hendaklah menggunakan perkataan nikah atau tazwij
• Ijab dan Kabul hendaklah menggunakan lafaz yang sorih
• Tidak diselangi dengan perkataan yang lain atau diam yang lama. 
• Sighah berlaku pada masa itu juga dan tidak terikat dengan syarat tertentu. 
• Sighah tidak terikat dengan masa tertentu. 

Pengertian wali

Maksud wali dari segi bahasa ialah kasih saying dan pertolongan. Dari segi istilah syara’ pula ialah seseorang yang mempunyai kuasa melakukan akad perkahwinan terhadap orang yang dibawah jagaannya, tanpa bergantung kepada keizinan. 

Bahagian wali terbahagi kepada ² iaitu wali mujbir, wali akrab, wali aba’d dan wali hakim. Wali mujbir ialah orang yang mengahwini perempuan yang masih gadis tanpa perlu meminta keizinannya dengan syarat tiada tiada permusuhan anta calon suami dan isteri, kedua-dua pasangan sekufu, calon suami mampu menbayar mahar secepat mungkin. Wali mujbir terdiri dari bapa dan datuk. Wali akrab ialah wali yang berhampiran dengan perempuan atau isteri seperti datuk sebelah bapa, bapa dan saudara lelaki. Wali ab’ad pula disebut sebagai wali yang jauh iaitu wali selain daripada bapa, datuk sebelah bapa dan saudara lelaki dalam susunan wali. Yang terakhir, wali hakim yakni sultan atau orang yang telah dilantik oleh sultan seperti qadi. 

Susunan wali adalah seperti berikut:

1. Bapa
2. Datuk sebelah bapa keatas
3. Saudara lelaki seibu sebapa (adik-beradik) 
4. Saudara lelaki sebapa
5. Anak saudara lelaki seibu sebapa hingga kebawah
6. Anak saudara lelaki sebapa hingga kebawah
7. Bapa saudara seibu sebapa hingga keatas
8. Anak lelaki bapa saudara (sepupu) seibu sebapa sehingga ke bawah
9. Anak lelaki bapa saudara (sepupu) sebapa hingga kebawah. 
10. Tuan kepada hamba yang telah dimerdekakan. 
11. Hakim atau sultan termasuk orang yang telah dilantik oleh sultan seperti qadi. 

Konsep melihat dan meminang

Islam mengharuskan seseorang lelaki untuk melihat perempuan yang bakal dipinangnya. Ia bertujuan supaya bakal suami berpuas hati dengan pilihan yang dibuatnya. Apabila pihak lelaki telah bersetuju untuk menjadikan perempuan itu sebagai isterinya, maka diadakan pula upacara peminangan. 

Meminang ialah menzahirkan keinginan seseorang lelaki untuk berkahwin dengan memberitahu hasratnya itu kepada perempuan tersebut atau walinya sama ada secara langsung atau perantaraan orang lain. Jika lamaran tersebut diterima oleh pihak perempuan, maka terjalinlah ikatan pertunangan antara lelaki dan perempuan tersebut. Namun begitu, haruslah di ingat bahawa batasan pergaulan masih perlu dijaga dan masih dilarang berdua-duaan sehinggalah akad nikah selesai. 
Peminangan adalah permulaan proses perkahwinan. Hukum peminangan adalah harus dan hendaklah bukan isteri orang, bukan mahram sendiri, tidak dalam idah, dan bukan tunangan orang. Pemberian seperti cincin kepada wanita semasa peminangan merupakan tanda ikatan pertunangan. Apabila berlaku keingkaran yang disebabkan oleh lelaki, pemberian tidak perlu dikembalikan dan jika disebabkan oleh wanita, maka hendaklah dikembalikan, namun persetujuan hendaklah dibuat semasa peminangan dilakukan. Melihat bakal suami dan bakal isteri adalah sunat, kerana tidak mahu penyesalan berlaku setelah berumahtangga. Anggota yang harus dilihat bagi seorang wanita ialah muka dan kedua-dua tangan sahaja. Hadith Rasullullah berkenaan kebenaran untuk merisik dan meminang;
Daripada Abu Hurairah RA berkata, sabda Rasullullah SAW kepada seorang lelaki yang hendak berkahwin dengan seorang perempuan:”Adakah kamu telah melihatnya?jawabnya tidak (kata lelaki itu kepada Rasullullah) . Pergilah melihatnya supaya perkahwinan kamu terjamin berkekalan. ”

Ciri-ciri bakal suami dan isteri

Memilih pasangan yang mempunyai cirri-ciri yang baik akan melhirkan keluarga yang bahagia. Islam ada menggariskan beberapa ciri-ciri bakal suami dan bakal isteri yang dituntut di dalam Islam. Antara cirri-ciri yang perlu diberi perhatian ialah, seseorang (lelaki dan perempuan) itu mestilah berpegang teguh kepada agama islam dan berakhlak mulia. Ini bermaksud, melakukan suruhan Allah dan menjauhi laranganNya dan bersama menunaikan tanngungjawab suami isteri dengan sempurna. Calon juga haruslah di pilih dari keturunan yang baik agar terjamin masa hadapan. Kalau boleh bukan dari kaum kerabat yang terdekat kerana jika ada perselisihan faham boleh menyebabkan kerenggangan keluarga. Penting juga untuk mencari pasangan hidup yang sekufu iaitu persamaan antara suami dan isteri dalam beberapa perkara tertentu, kerana kadang-kala kekurangan boleh merosakkan keharmonian rumahtangga. Selain itu, sebaik-baik seseorang yang belum berkahwin. 

Rasulullah ada menggariskan beberapa panduan dalam memilih pasangan sebagaimana sabda baginda yang bermaksud;

“wanita dinikahi kerana 4 perkara yakni, kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan agamanya. Pilihlah yang beragama, nescaya berbahagialah kamu”

Hadith tersebut bukanlah dikhususkan kepada kaum lelaki sahaja. Bahkan kaum wanita juga berhak memilih suami berdasarkan ciri-ciri tersebut. 

Golongan wanita yang haram dikahwini

Islam telah menetapkan beberapa golongan wanita yang haram dikahwini sama ada untuk selamanya atau sementara. Terdapat golongan wanita yang haram kahwini buat selama-lamanya. Mereka juga disebut sebagai mahram. Pengharaman tersebut berlaku dengan sebab-sebab tertentu seperti, haram berkahwin dengan sebab keturunan (kahwin dengan ibu, nenek, cucu) , haram berkahwin dengan sebab persemandaan (kahwin dengan isteri kepada bapa, ibu tiri) , haram dengan sebab susuan. Maksud susuan ialah, menyusu sampai 5 kali susuan secara berasingan dai setiap kali menyusu mestilah sampai kenyang. Perempuan yang diharamkan berkahwin secara sementara pula ialah perempuan yang diharamkan berkahwin dengan lelaki atas sebab tertentu. Apabila terhapus sebab-sebab tersebut, maka halal lah bagi mereka untuk berkahwin. Haram untuk mengahwini dengan perempuan yang musyrik, kecuali setelah dia memeluk agama islam. Haram berkahwin dengan perempuan yang masih bersuami kecuali jika dia sudah becerai dan tamat tempoh edahnya. Haram bagi lelaki untuk berkahwin melebihi daripada ² orang wanita pada satu masa, kecuali setelah dia menceraikan salah satu daripadanya, dan tamat edahnya. Haram mengumpulkan perempuan kedua-dua wanita yang bersaudara pada satu masa sama persaudaraan tersebut kerana nasab atau susuan. Yang terakhir, haram menikahi perempuah yag ditalak 3 seingga dia berkahwin lain, telah melakukan persetubuhan dan bercerai dengan suami kedua serta tamat edahya. 

Hikmah larangan berkahwin selamanya atau sementara. 

Antara hikmah yang boleh kita perolehi daripada larangan berkahwin dengan perempuan yang haram dikahwini sama ada untuk selamanya atau sementara ialah, kita dapat memelihara kesucian nasab dan keturunan seseorang. Hubungan silaturrahim antara keluarga juga perlu dijaga. Agar kita dapat mengelakkan permusuhan dan dendam antara kaumkerabat. Selain itu, kita juga dapat memelihara maruah dan akhlak manusia, serta mengelakkan diri dari melakukan maksiat dan dosa. 

Mahar

Mahar ialah pemberian suami kepada isteri disebabkan akad nikah. Hukumnya adalah wajib setelah akad nikah sempurna berlangsung. Pemberian mahar tiada hadnyaasalkan dinamakan harta. Sama ada banyak atau sedikit, tunai ataupun hutang, mahupun dalam bentuk manfaat seperti al-quran, rumah dan sebagainya adalah diharuskan. Mahar adalah satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan suami kepada isteri. Ia juga menujukkan seseorang suami bermulanya kesanggupan suami menerima tanggungjawab sebagai ketua dalam keluarga. 

Firman Allah subhanu wataala yang bermaksud;

“berikanlah kepada perempuan2 itu maskahwin sebagai pemberian yang wajib. Jika mereka sesuka hatinya memeberikn sebahagian kepada kamu, maka makanlah (gunakanlah) , pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat lagi baik kesudahannya”

Mahar terbahagi kepada dua, mahar misil dan mahar musamma. Mahar mithil ialah kadar yang ditentukan mengikut kadar mahar saudara-saudara perempuan pihak isteri yang telah berkahwin. Mahar musamma pula ialah, mahar yang disebut dalam akad yang ditentukan kdarnya dan dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. 

Hikmah diberikan mahar kepada isteri ialah, untuk menzahirkan keikhlasan penerimaan suami terhadap isteri. Pemberian mahar juga memulia, mengiktiraf, dan meninggikan taraf perempuan. Ia juga menunjukkan bukti suami dapat mengurus dan menyidiakan keperluan rumahtangga dengan baik. Selain itu, pemberian mahar juga sebagai tanda bermulanya tanggungjawab suami terhadap isteri. 

Walimatul urus

Makna walimatul urus pada bahasa ialah berkumpul. Pada istilah syara’ pula, jamuan atau kenduri yang diadakan sempena perkahwinan bertujuan untuk menghebahkan berita gembira tentang perkahwinan tersebut kepada orang ramai. Hukum mengadakan walimah adalah sunat. Ia hendaklah diadakan dengan niat yang ikhlas untuk mengisytiharkan perkahwinan sebagai tanda bersyukur kepada Allah dan dengan niat untuk bersedekah. Manakala menerima jemputannya adalah wajib jika tiada sebarang keuzuran dan keadaan majlis berjalan mengikut kehendak syara’. Para jemputan hendaklah terdiri daripa semua lapisan masyarakat. Ia tidak seharusnya dikhususkan kepada golongan tertentu sahaja dan layanan yang diberi mestilah sama rata. Walaubagaimanapun, islam tidak menggalakkan umatnya mengadakan secara besar-besaran sehingga terpaksa berhutang dan berlakunya pembaziran. Cukuplah dengan cara bersederhana sahaja. Perkara-perkara maksiat juga harus dijauhi dalam majlis tersebut seperti percampuran tempat duduk, majlis tari-menari dan juga hiburan yang melalaikan. 

Tanggungjawab suami isteri

Perkahwinan merupakan ikatan perjanjian antara lelaki dan perempuan untuk sehidup semati. Oleh itu, ada beberapa peranan dan tanggungjawab yang perlu mereka pikul bersama untuk melahirkan keluarga yang bahagia. Suami merupakan ketua keluarga yang mempunyai tanggungjawab yang sangat-sangat besar. Seorang suami mesti memberi layanan yang baik seperti percakapan yang sopan-santun, berterima-kasih, pandai mengambil hati agar kekal keharmonian dalam keluarga. Suami berkewajipan untuk memberi didikan agama yang secukupnya kepada isteri dan anak-anak agar mereka dapat menunaikan kewajipan terhadap Allah dan dapat menyelamatkan mereka dari seksaan Allah. Bagi mereka yang kahwin banyak, si suami di tuntut berlaku adil terhadap kesemua isteri beliau sama ada dari segi tempat tinggal, harta mahupun nafkah. Selain itu, suami juga mestilah menyediakan nafkah zahir dan batin yang mencukupi kepada isteri dan anak-anak mengikut kesesuaian dan kemampuan. Rumah merupakan tempat berlindung kepada semua orang. Oleh itu, wajib bagi seseorang suami untuk menyediakan tempat tinggal kepada keluarganya. 

Selain daripada tanggungjawab suami, isteri juga mempunyai beberapa tanggungjawab tertentu untuk melahirkan keluarga bahagia. Isteri wajib taat kepada suaminya dalam semua hal selagi tidak bertentangan dengan hukum syara’. Isteri hendaklah pandai menjaga maruah diri seperti menutup aurat, jaga batasan dengan lelaki lain, tidak menceritakan keburukan suami kepada orang lain dan menjaga keharmonian keluarga. Seseorang isteri yang solehah akan meminta izin suami terlebih dahulu sebelum melangkah keluar dari rumah, untuk bekerja, bahkan dalam ibadah seperti berpuasa. Isteri juga perlu menjaga harta suaminya. Isteri boleh membelanjakan harta suami dengan pengetahuan dan keizinan suami. Selain itu, isteri juga hendaklah mendahului keperluan dan hak suami daripada hak isteri dan kaum kerabat. Sifat berterima-kasih hendaklah sentiasa dizahirkan sama ada dari percakapan atau perbuatan. Sentiasa redha dengan pemberian suami dan tidak bermegah dengan kelebihan diri dan mengeji kekurangan suami. 

Suami dan isteri mempunyai tanggungjawab bersama yang harus ditunaikan bersama seperti memelihara dan mendidik anak. Bukan tanggungjawab salah seorang sahaja kerana anak merupakan anugerah Allah kepada mereka. Ibubapa wajib mendidik anak mereka dengan ilmu fardhu ain dan juga fardhu kifayah agar mereka menjadi anak yang baik dan soleh. Selain itu, suami isteri juga harus berusaha untuk mengekalkan kasih sayang dalam rumahtannga. Sentiasa berbincang, saling meminta dan menerima pandangan serta saling memaafkan kesalahan. Yang paling penting ialah perlu sentiasa bertolak ansur dan saling mempercayai. Terdapat keadaan dimana suami tidak mampu mencari nafkah kerana sebab-sebab tertentu seperti sakit. 0leh itu, isteri bolehlah membantu. 

Selain daripada tanggungjawab bersama, terdapat juga hak bersama antara suami dan isteri. Hak pergaulan yang halal. Berkongsi hak pergaulan suami isteri dengan cara yang baik dan diredhai Allah. Seseorang suami atau isteri juga berhak mendapat hak sabitan nasab terhadap anak-anak yang dilahirkan hasil dari perkahwinan yang sah. Seseorang suami atau isteri mempunyai hak untuk mewarisi harta pusaka apabila salah seorang meninggal dunia. 

Pengertian nafkah

Nafkah merupakan salah satu kewajipan suami kepada isteri dan anak-anaknya. Pada dasarnya, ia berupa keperluan asas seperti, tempat tinggal, pakaian, makan minum terhadap orang dibawah tanggungannya. 

Pengertian nafkah dari segi bahasa ialah, mengeluarkan sesuatu untuk kebaikan. Dari segi istilah syara’ pula, memberi perbelanjaan kepada orang-orang dibawah tanggungannya dengan secukupnya. Para ulama’ sepakat mengatakan bahawa suami wajib memberi nafkah kepada isteri. Firman Allah yang bermaksud;

“wajib keatas lelaki (suami) memberi makanan dan pakaian kepada ibu itu dengan cara yang sempurna”

Islam tidak menetapkan had pemberian nafkah. Ianya mestilah mencukupi adapt kebiasaan dan mengikut kemampuan suami. Mengikut jamhur ulama’ nafkah yang tidak dibayar oleh suami dikira sebagai hutang kerana sudah menjadi tanggungjawab suami membayarnya kepada isteri. 3 jenis nafkah yang ada disebut dalam ayat Al-Quran ialah, tempat tinggal yang sesuai, memberi nafkah jika si isteri mengandung sehingga melahirkan anak dan perbelanjaan menyusu bagi mereka yang menyusukan anak. 

Setiap isteri wajib mendapat nafkah sama ada dari segi zahir dan batin dari suaminya. Walaubagaimanapun, ada beberapa keadaan yang menyebabkan seseorang isteri itu terhalang dari terus mendapat nafkah tersebut. Antaranya ialah jika berlaku kematian. Apabila seorang suami atau isteri meninggal dunia, maka gugurlah pemberian nafkah. Isteri yang nusyuz (curang) juga menyebabkan hilang kelayakan untuk mendapat nafkah kecuali setelah dia memohon maaf dan bertaubat. Jika seorang isteri murtad, maka terputuslah haknya untuk mendapat nafkah. 

Pengertian mut’ah

Mut’ah dari segi bahasa membawa makna sesuatu yang menggembirakan. Dari segi istilah syara’ pula ialah, harta yang wajib di bayar oleh suami kepada isteri yang telah diceraikan atas kehendak suami dengan syarat tertentu. Kadar mut’ah pada dasarnya tidak ditetapkan. Ia bergantung kepada kemampuan suami dan pemberian tersebut hendaklah mengikut kadar yang berpatutan dan munasabah. 

Kepentingan pemberian mut’ah kepada isteri yang telah diceraikan ialah, dapat memberi ketenangan dan kedamaian hati kepada bekas isteri. Ia juga dapat mengurangkan tekanan perasaan bekas isteri akibat perceraian. Kadang-kala dengan pemberian mut’ah, dapat mendorong suami merujuk kembali kepada bekas isteri jika bukan talak bain serta mengilak permusuhan. Ia juga dapat menunjukkan tanda penghargaan jasa baktinya semasa kenjadi isteri dan sebagai modal untuk memulakan keidupan baru setelah hilang tempat bergantung. 

Pengertian hadonah

Hadonah merupakan hak seorang anak. Mereka perlukan seseorang yang memelihara, memberi kasih-sayang dan menguruskan keperluan harian mereka. Ibubapa harus diberi keutamaan kerana mereka adalah orang yang paling rapat dengan anak-anak. 

Pengertian hadonah dari segi bahasa ialah himpunan. Dari segi istilah syara’ pula, menjaga kanak-kanak yang belum mumayiz, agi sesiapa yang berhak menjaganya dengan mendidik, mengasuh dan mengurus dirinya sehingga mumayiz. Hak penjagaan anak (hadonah) selalunya di beratkan kepada kamu kerabat sebelah ibu dan kamu wanita, berbanding dengan perlantikan wali. 

Syarat-syarat hadonah

• Islam. Kanak-kanak muslim tidak boleh dijaga oleh orang kafir
• Berakal. Orang gila tidak layak. 
• Baligh. Kanak-kanak yang belum baligh tidak layak, kerana mereka tidak mampu untuk menguruskan dirinya sendiri. 
• Berakhlak mulia dan amanah. 
• Tinggal di kawasan kanak-kanak tersebu, dan kanak-kanak tersebut tidak menghadapi apa-apa akibat buruk jasmani dan rohani. 
• Tidak berkahwin dengan lelaki yang ajnabi. Jika berkahwin maka gugurlah hak hadonah. 

Diantara sebab-sebab hilang kelayakan hadonah ialah, seorang ubi berpindah ke tempat lain dengan tujuan untuk menghalang ayah kanak-kanak tersebut dari dating menziarahinya. Berkelakuan buruk hingga anak itu tidak merasa selamat tinggal dengannya. Berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak tersebut. Berpenyakit seperti sopak, gila dan lain-lain yang boleh membahayakan kanak-kanak tersebut. Murtad juga boleh menyebabkan hilang kelayakan hadonah dan cuai atau menzalimi kanak-kanak tersebut. 


Pembubaran perkahwinan

Islam mensyariatkan perkahwinan sebagai pelengkap hidup manusia. Namun begitu, ada setengah keadaan rumahtangga yang dibina menghadapi masalah. Oleh itu, islam mensyariatkan pembubaran perkahwinan seperti talak, fasakh, dan hulu’ sebagai jalan penyelesaian kepada masalah tersebut. Talak merupakan jalan terakhir bagi rumahtangga yang tidak dapat diselesaikan melainkan dengan cara perpisahan. Haram jatuh talak kepada isteri yang sedang haid, nifas atau pada waktu suci yang telah disetebuhi. Makruh jika suami mentalakkan isteri tanpa keperluan, dimana dia masih mahu mengekalkan perkahwinan dan perkahwinan tersebut tidak menghalang dia dari melakukan kewajipan. Namun begitu, wajib apabila seseorang itu yakin dengan kekal bersama isterinya akan membawa kepada maksiat atau membawa kepada perkara haram seperti tidak mampu memberi nafkah. Walau bagaimanapun, harus jatuh talak apabila isteri tidak menjaga percakapan dan tidak menunaikan hak-hak Allah. Yang terakhir, sunat apabila bercerai mengikut sebab-sebab yang dibenarkan syara’ seperti tiada persefahaman lagi setelah berusaha dengan pelbagai cara. Talak terbahagi kepada 2 yakni talak yang bole diruju’ dan yang tidak boleh di ruju’. Hikmah disyariatkan talak ialah, dapat mengilak permusuhan dari berterusan, menghilangkan tekanan perasaan diantara suami dan isteri, dan juga sebagai jalan penyelesaian yang terakhir bagi masalah dan kekusutan rumahtangga. 

Walaubagaimanapun, islam mensyariatkan ruju’ untuk memberi peluang kepada pasangan suami isteri berbaik semula dengan meneruskan ikatan perkahwinan. Ruju’ sah hanya jika berlaku dalam tempoh edah. Kifayah ruju’ adalah seperti berikut; seseorang suami yang hendak ruju’ mestilah melafazkan kata-kata ruju’ kepada isterinya atau mana-mana lafaz sama ada sorih atau kinayah. Contohnya, ”aku ruju’ semula kepada engkau”atau”aku ingin berbaik-baik semula”. Disunatkan 2 orang saksi untuk kemuslahatan. Ruju’ dapat mengilak perasan dendam atau permusuhan. Ruju’ juga untuk membetulkan kesilapan lalu dan menanam sifat kasih-sayang dan pemaaf. Peluang diberi untuk meruju’ kerana islam tidak suka kepada perpisahan yang berterusan antara suami isteri. Ini kerana kesannya bukan terhadap suami isteri sahaja, malah kepada anak-anak yang perlukan ibubapa mereka juga. 

Islam mewajibkan keatas seorang isteri yang diceraikan supaya beredah dalam tempoh yang tertentu mengikut keadaan ketika bercerai. Edah bagi perempuan yang haid ialah selama 3 kali suci. Bagi perempuan yang tiada haid atau putus haid adalah selama 3 bulan. Edah bagi isteri yang mengandung pula tempohnya sehingga melahirkan anak. Manakala, edah bagi isteri kematian suami selama 4 bulan 10 hari. Pensyariatan edah membuktikan islam menitik beratkan soal keturunan agar tidak berlaku percampuran benih bekas suami dengan lelaki yang bakal dikahwini. Ia juga memberi peluang seluas-luasnya kepada pasangan suami isteri untuk meruju’ kembali. Isteri berhak mendapat haknya ketika didalam edah yang perlu ditunaikan oleh suami. Antara hak tersebut adalah, isteri yang ditalak (raj’i) berhak mendapat nafkah, tempat tinggal dan pakaian. Suami tidak boleh menyakiti isteri dengan tujuan untuk mengeluarkannya dari tempat kediaman. Jika isteri tersebut mengandung, dia berhak mendapat nafkah, tempat tinggal, makanan dan pakaian sehingga melahirkan anak. Jika dia sedng menyusukan anak, dia berhak mendapat upah daripada penyusuan tersebut. Isteri itu juga berhak mendapat hak mewarisi jika suaminya meninggal dunia sebelum tamat tempoh edah. 

Fasakh merupakan salah satu bentuk pembatalan perkahwinan yang boleh dituntut oleh suami atau isteri. Perceraian melalui kaedah fasakh tidak boleh di ruju’ kembali kecuali dengan cara akad yang baru. Antara sebab yang membolehkan fasakh, jika berlaku murtad antara salah seorang daripada suami isteri tersebut. Jika suami tidak mampu atau cuai dalam memberi mahar atau nafkah. Fasakh memberi kesan khususnya kepada 3 perkara, terputus ikatan perkahwinan, tidak boleh diruju’ kecuali dengan cara akad yang baru. Jika fasakh berlaku sebelum persetubuhan, maka hak isteri untuk mendapat mahar terbatal. Isteri juga tidak berhak mendapat mut’ah jika dia yang memohon dan isteri tidak berhak mendapat nafkah semasa dalam edah fasakh, sama ada hamil atau tidak kecuali tempat tinggal. Fasakh menunjukkan keadilan dimana suami ada hak talak, isteri mempunyai hak fasakh. 

Seseorang isteri mempunyai hak untuk membubarkan perkahwinan melalui hulu’ atau tebus talak. Contoh lafaz hulu’, ”aku talak kamu dengan bayaran sekian-sekian…”. Hulu’ juga tidak boleh diruju’ kembali, kecuali dengan akad yang baru. Isteri dikenakan bayaran ganti rugi kepada suami. Selain itu isteri hilang kelayakan untuk mendapat hak mut’ah. Ketika beredah, isteri tidak berhak mendapat nafkah kecuali jika hamil. Isteri berhak mendapat tempat tinggal ketika edah. Hikmah disyariatkan hulu’ ialah, jalan kepada wanita untuk membibaskan diri lelaki yang tidak disukai atau zalim terhadapnya dan juga untuk memberi keadilan kepada suami isteri. Isteri mendapat hak tuntutannya manakala suami mendapat bayaran ganti rugi. 

Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com