Godaan-Godaan Dalam Sakaratul Maut.
Mati boleh ditakrifkan apabila nyawa terpisah daripada tubuh badan kita. Nyawa akan tetap hidup terus menerus sampai kiamat, sedangkan tubuh pula akan hancur menjadi air dan tanah. Nyawa kembali kepada Tuhan dan tubuh kembali kepada tanah.
Sebelum Malaikat maut melaksanakan tugasnya dan sebelum nyawa terpisah dari tubuh, maka semua anggota tubuh badan akan mengucapkan selamat berpisah dan akan bertemu kembali di akhirat kelak.
Aisyah RA. katanya:”Bahawa Rasulullah SAW. pernah memasukkan tangannya ke tempat air dari kulit yang sedang berisi air. Maka air itu diceduk dengan tangannya lalu dibasuhnya muka. Ketika itu baginda bersabda: Tiada Tuhan melainkan Allah. Bahawa maut itu ada sakaratnya (huru hara) . Setelah itu Nabi SAW. menyiram lengan atas dengan air seraya bersabda. Lenganku ini nanti mengucapkan selamat tinggal sebelum roh keluar. Aisyah RA. berkata tidak seorang juapun yang pernah aku lihat yang meninggal sepayah wafatnya Rasulullah. ” (Riwayat Bukhari)
Anas bin Malik RA. berkata: Bersabda Nabi SAW. ”Bahawa hamba itu sungguh sakit sengsara maut. Dan bahawasanya segala ruas-ruas persendian saling mengucapkan salam antara satu sama lain katanya: Selamat berpisah aku dengan engkau sampai (berjumpa lagi) pada hari kiamat. ” (Riwayat Nasa’i)
Kesimpulan daripada dua hadis tersebut ialah semasa sakaratulmaut itu datang, ruas-ruas persendian itu mengucapkan selamat berpisah antara satu sama lain sampai berjumpa lagi di hari kiamat kelak. Meskipun di dalam tubuh badan hancur serta tulang berselerakan namun di hari kiamat nanti semuanya akan berkumpul semula menjadi satu tubuh.
Nabi SAW. pernah bersabda dari firman Allah yang berbunyi:”Demi kebesaran dan keagunganKu: Tidaklah Aku keluarkan hambaKu dari dunia ini, sehingga Aku hapuskan kesalahan amal perbuatannya, Aku sakitkan tubuhnya. Aku timpakan, musibah kepada keluarga dan anak-anaknya. Atau (sebaliknya) , iaitu: Aku sempitkan penghidupannya. Aku tutup pintu rezekinya, sehingga tinggal sebesar zarah, dan Aku susahkan matinya. Seperti dia berada di hari dilahirkan oleh ibunya. ” (Riwayat Muslim)
Semasa dalam sakaratulmaut, ada orang yang susah untuk mati dan ada pula yang senang matinya. Selalunya yang senang matinya terdiri daripada para syuhada. Contohnya syahid muta’arikah iaitu mati perang sabil, berperang dalam mempertahankan agama Allah. Bagi mereka, mereka tidak terasa sakit mati kerana luka pedang itu hanya terasa bagai digigit semut sahaja.
Bagi orang yang mati biasa, ada yang senang dan ada pula yang susah kerana pelbagai godaan dalam sakaratulmaut sehingga membuatkan roh itu susah untuk keluar dari jasadnya. Manakala bagi mereka yang derhaka kepada Tuhan iaitu orang-orang yang mengerjakan dosa besar akan menyebabkan roh mereka susah keluar dari badan. Contoh dosa besar ialah syirik, derhaka kepada ibu bapa dan menggugurkan anak dalam kandungan.
Kepada orang beriman dan beramal soleh juga mengalami kesusahan di dalam sakaratulmaut. Rohnya merasa sulit meninggalkan tubuhnya, bukanlah satu hukuman baginya melainkan untuk meninggikan darjatnya di sisi Allah.
Terdapat pelbagai godaan semasa sakaratulmaut seperti ternampak bayangan berupa tangga biru yang turun dari langit dan ada juga godaan yang merasa haus dan lapar. Pelbagai lagi godaan sehingga orang itu tidak ingat pada Tuhan.
Syed Abdullah Al Fatani menulis dalam bukunya Karya gul Gummah hal 17 sebagai berikut: Ketika itu datang syaitan menyerupai ibunya yang telah meninggal dunia, duduk di sebelah kirinya, berkata sambil menangis, katanya: Hai anakku, aku adalah ibumu yang mengandungkanmu dengan susah payah dan telah memeliharamu sejak kecil. Bukan main kasih sayangku kepadamu nak! Sekarang engkau akan meninggal maka ikutilah olehmu agama Yahudi, kerana itulah yang sebaik-baik agama. Dan seorang lagi menyerupai seorang bapa yang telah meninggal duduk di sebelah kanannya, seraya berkata: Hai anakku! Sayang bapa kepadamu, tidak kalah dari sayang ibumu. Tidak kenal siang, tidak kenal malam aku mencarikan nafkah untukmu nak! Sekarang engkau akan meninggal maka ikutlah olehmu akan agama Nasrani, kerana itulah yang sebaik agama. (Dikutip dari Kasyaful Gumma halaman 17-18)
Begitulah godaan syaitan ketika seseorang berhadapan dengan maut yang bertujuan supaya tidak lagi teringat kepada Allah.
ROH KELUAR.
Roh itu tidak keluar dengan sendiri melainkan dengan perintah Allah melalui Malaikat maut. Malaikat maut mencabut nyawa manusia itu bukanlah di atas kehendak hatinya. Dia hanya menjalankan perintah Tuhan. Tuhan yang menugaskan kepadanya untuk mengambil nyawanya sendiri. Ajal seseorang itu telah ditentukan menurut apa yang telah dijanjikan dengan Tuhan semasa di dalam rahim ibu.
Janji yang telah diikrarkan dengan Tuhan itu tidak akan dapat diubah lagi. Kejadian manusia ini semasa masih dalam rahim ibu ialah bermula hanya setitis air lalu menjadi segumpal darah. Kemudian menjadi sebungkah daging. Setelah itu terbentuklah tubuh yang lengkap. Iaitu mempunyai badan, kepala, kaki dan tangan, rambut, mata dan telinga maka ketika itu ditiupkan roh hidup di dalam tubuhnya.
Setelah itu berjanjilah dia dengan Tuhan lima perkara:
1. Rezeki
2. Musibah
3. Ajal
4. Di bumi mana dia dikuburkan
5. Nasib baik dan nasib buruk selama dia hidup di alam dunia
Ajal sudah berjanji dengan Tuhan semasa masih berada di dalam rahim ibu. Ajal tidak dapat diubah, sudah ditentukan menurut perjanjian yang telah diikrarkan dengan Tuhan. Seseorang itu mati kerana ajalnya sudah sampai. Malaikat maut itu akan melaksanakan tugasnya tepat pada waktunya mengikut perjanjian. Dia mencabut nyawa seseorang itu bukan dengan tangan seperti yang kita bayangkan, melainkan cukup dengan perkataan:”Keluarlah engkau, maka keluarlah dia. ”
Bagi orang yang soleh, ”Wahai jiwa yang tenang, keluarlah engkau dari tubuh yang baik, marilah engkau pindah ke tempat yang lebih baik, lebih aman dan sentosa yang telah disediakan oleh Tuhanmu. Marilah keluar, wahai jiwa yang tenang. ”
Bagi orang kafir atau orang yang berdosa, ”Hai roh jahat, keluarlah engkau dari tubuh jahat ini. ” (diambil daripada Kasyaful Gammah 21)
Rupa Malaikat maut ketika mencabut nyawa seseorang itu tidak tetap dan berubah mengikut amalan seseorang itu ketika masih hidup. Maka keluarlah roh itu perlahan-lahan naik. Dari kaki naik ke betis, dari betis naik ke paha, terus ke perut dan sampai ke halkum dan tenggorok. Disinilah batas taubat.
Ibnu Umar RA. katanya:”Bersabda Nabi SAW. bahawa Allah menerima taubat seseorang hamba itu sebelum rohnya sampai ke tenggorok. ” (Riwayat Tarmizi) Hadis Hasan.
ALAM BARZAKH.
Alam Barzakh adalah masa antara roh berpisah daripada tubuh sehingga hari kiamat. Kubur adalah pintu masuk untuk bertemu dengan Allah bagi mempertanggungjawabkan amal perbuatan selama hidup di dunia. Barzakh bermaksud meliputi seluruh perkuburan. Azab kubur pula ialah siksaan yang ditanggung di alam barzakh.
Di dalam kuburlah tubuh berbaring dan tempatnya sempit dan dingin. Seluruh tubuh akan dimakan ulat, mata dan telinga akan dimakan cacing. Sementara bagi orang yang beriman dan beramal soleh, mereka merasakan lahat itu seperti tidur di atas tilam sutera, sedap dan nyaman, dan kubur itu terasa seperti berada di pangkuan ibu. Tidak lama selepas itu, datang pula dua orang Malaikat iaitu Malaikat Mungkar dan Nakir untuk memeriksa dan menyiksa. Ketika ini, tiada siapa yang dapat membantu melainkan amalan semasa hidup. Pada masa ini, mayat yang tersebut akan disiksa sehinggalah hari kiamat.
Menurut hadis Nabi, tempat arwah di Barzakh ialah di Jannatul Barzakh iaitu tempat mereka menunggu tibanya hari kiamat. Setelah selesai bersoal jawab dengan Malaikat di kubur, maka roh Nabi-nabi, para syuhada, para muttakim dan solihin diangkat rohnya oleh Malaikat ke langit. Dari langit pertama terus ke langit ke dua, ke tiga dan seterusnya sehingga langit ke tujuh. Dari sini sampai ke Sidratul Muntaha. Kemudian terus dibawa ke bawah Arasynya Tuhan. Disinilah hidup mereka senang dan bahagia.
Bagi orang beriman dan beramal soleh, Barzakh itu merupakan Taman Firdaus yang tidak ada bandingnya. Sebaliknya bagi orang kafir, barzakh seperti api neraka yang tidak terhingga. Di sana, mereka mengalami bermacam azab siksaan yang tidak dapat digambarkan betapa ngerinya. Roh orang kafir tidak duduk setempat kerana rohnya akan berkeliaran di antara langit dan bumi.
Sementara arwah orang-orang yang berdosa itu selesai bersoal jawab dengan Malaikat, maka arwahnya dibawa ke langit. Sampai di langit pertama, Malaikat penjaga langit akan menutup pintu langit tersebut dan roh itu dipukul sehingga jatuh semula ke bumi. Arwah itu selalu berulang-alik ke kuburnya dank e rumah anak-anaknya. Kehidupan mereka di Barzakh menunggu hari kiamat. Dan setelah kiamat, mereka akan dibangkitkan kembali dengan tubuh atau jasadnya itu.
KIAMAT
Kiamat adalah hancurnya dunia ini dan ditukarkan dengan alam yang baru. Semua makhluk yang hidup akan mati kecuali Allah. Malaikat, jin, iblis, manusia, haiwan dan seluruh alam ini akan lenyap. Alam ini kosong dan akan dicipta oleh Tuhan alam yang lain. Setelah itu barulah manusia dibangkitkan daripada kuburnya.
Bumi ini sedang menuju ke arah kehancuran. Bermula dengan perubahan yang terjadi kepada manusia, lahir, membesar, tua dan mati. Begitulah kudrat alam, Kiamat pasti ada. Dan sesiapa yang tidak percaya kepada hari kiamat bertentangan dengan kudrat alam.
Nabi Muhammad SAW. hanya dapat menunjukkan tanda-tanda kiamat sahaja tapi bila waktunya Kiamat, itu adalah rahsia Allah.
Di antara tanda-tanda Kiamat ialah:
Terjadi perang yang dahsyat antara dua pihak yang bertentangan dan mempunyai kekuasaan yang kuat.
Muncul dajal
Al-Quran hilang di angkat ke langit
Banyak berlaku gempa bumi
Fitnah bermaharajalela
Banyak terjadi pembunuhan
Harta benda banyak bertimbunan
Orang akan mencintai mati daripada hidup
Terbit matahari dari tempat terbenamnya
PERISTIWA KIAMAT
Di dalam Al-Quran ada dinyatakan bahawa Kiamat itu hancur menjadi minyak, bumi akan rata, gunung-ganang akan hancur. Matahari digulung, langit pecah berterbangan seperti kapas diterbangkan angin. Laut panas mendidih kemudian kering dan bertimbun, dan bintang-bintang akan berjatuhan. Matahari, bintang, bulan dan bumi akan bertaburan, pecah, hancur, dan lenyap. Ketika ini, segala makhluk akan mati.
Sangkakala akan ditiup dua kali. Tiupan yang pertama, terjadilah kiamat. Pada masa ini, semua makhluk akan mati kecuali orang-orang yang dikehendaki Allah. Mereka ialah para nabi, arwah para syuhada, Malaikat Syurga, Hurul Aini (bidadari di syurga) , Malaikat Jibril, Mikail, Israfil dan akhir sekali ialah Malaikat Maut. Pada tiupan yang kedua, mereka akan dibangkitkan kembali.
Terdapat hadis lain yang menyatakan bahawa Malaikat Israfil meniup sangkakala itu tiga kali iaitu:
i. Tiupan fazi’ ertinya baru terkejut makhlukdi langit dan di bumi.
ii. Tiupan sa’iqah maksudnya mati segala makhluk.
iii. Tiupan kiamu lirabbil alamin iaitu dibangkitkan kembali dari kuburnya untuk mempertanggungjawabkan amal perbuatan kepada Tuhan.
Jarak tiap-tiap tiupan itu adalah 40 tahun. Jadi, terjadinya kiamat selama 120 tahun. Malaikat Israfil meniup sangkakala itu berdiri di antara langit dan bumi, dan bunyinya bergemuruh dan terdengar ke seluruh alam.
AKHIRAT.
Makhluk yang mula-mula dihidupkan kembali ialah Malaikat Israfil supaya meniup sangkakala. Setelah itu, hiduplah sekelian makhluk ini. Manusia dibangkitkan dengan tubuh yang sekarang, walaupun telah hancur berkecai. Sebahagian tubuh itu di dalam tanah, dan sebahagian lagi di dasar laut, di dalam perut ikan, di dalam perut binatang buas, menjadi abu dan sebagainya. Namun begitu, semuanya akan bersatu, berkumpul menjadi tubuh pada hari kiamat.
Alam ini kemudian dibangkitkan tanpa air, laut, tumbuh-tumbuhan. Yang ada hanyalah padang pasir yang panas membara dan batu. Di tengah-tengah bumi seperti itulah makhluk dibangkitkan dan berkumpul menunggu keputusan pengadilan Tuhan. Malaikat dibangkitkan untuk mengatur umat manusia. Jin, iblis dan syaitan dibangkitkan untuk menerima hukuman dari Tuhan.
Binatang dibangkitkan untuk menjadi saksi bagi manusia. Adakalanya mereka teraniaya, ketika itulah mereka menuntut pembalasannya. Tuhan akan memperlihatkan keadilannya. Siapa yang bersalah akan dihukum kerana Tuhan itu Maha Adil. Manusia pula dibangkitkan untuk mempertanggungjawabkan segala amal perbuatan selama mereka hidup di alam dunia.
Ketika sangkakala berbunyi yang ketiga kalinya maka bangkitlah manusiadari kuburnya. Orang yang pertama bangkit ialah Nabi Muhammad SAW. Setelah itu diikuti oleh isteri, putera dan puteri baginda. Selepas itu diikuti oleh Abu Bakar, Umar bin Khattab dan orang-orang yang berkubur di Baqi-ul-Arkad di Madinah. Kemudian mereka dipindahkan ke Maukuf iaitu masjid ‘Baitul Mukaddis’ yang sekarang dan disinilah baginda menunggu kedatangan umat yang menemui Nabi SAW. meminta syafaatnya.
Manusia dibangkitkan seperti Nabi Adam iaitu tingginya 60 hasta. Semua orang seperti berumur 33tahun. Ketika itu, bentuk tubuh manusia berbagai-bagai bentuk bergantung kepada amal perbuatan mereka semasa hidup di dunia.
Pada hari itu, umat manusia akan dibahagikan kepada tiga golongan:
1) Mereka yang kaya
Orang yang banyak amal solehnya. Amalan inilah yang dibangkitkan menjadi harta benda.
2) Mereka yang miskin
Orang-orang kafir yang mana amalan mereka di dunia tidak diterima Allah di akhirat.
3) Orang yang muflis
Orang yang kaya pada mulanya, tetapi harta itu habis setelah hutang mereka dijelaskan. Mereka beribadat dan beramal soleh sambil melakukan pelbagai maksiat, berjudi, memakan riba dan minum arak.
Kemudian, mereka dikumpulkan di suatu tempat yang lapang dan luas yang dipanggil ‘Padang Mahsyar’ iaitu tempat berkumpul segala makhluk ciptaan Allah. Malaikat berkeliaran di semua sudut dan penjuru sibuk menjalankan tugas yang diperintahkan Tuhan kepadanya.
Antara syafaat pertolongan Nabi SAW. di akhirat ialah:
1) Di waktu melenyapkan panas matahari. Panas yang membakar dan membuat penderitaan yang tak terhingga.
2) Terdapat di Mizan iaitu ketika ditimbangkan antara dosa dan pahala. Kalau dosanya lebih berat maka daun neraca itu ditambah Nabi SAW. sehingga beratnya kembali seimbang.
3) Syafaat Nabi SAW. terdapat di waktu meniti Titian Sirotul Mustakim. Barangsiapa umatnya yang terjatuh ke dalam Neraka itu maka disyafaatkan oleh Nabi SAW.
Setelah minum dan mandi di Haudh tersebut, mereka akan kembali ke tempat berkumpul dan menuggu keputusan kehidupan di akhirat selanjutnya. Haudh adalah telaga di akhirat yang dipanggil Al-Kausar. Ketika itu Tuhan menampakkan diriNya. Jelas dapat dilihat oleh semua manusia. Di sinilah manusia dapat melihat Tuhan yang sebenarnya.
Disediakan oleh : Nur Farah Nadia Bt Kasbin
Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
PERLIS
MALAYSIA
H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com