Kefardhuan Dalam Perjuangan

TAKRIF FARDHU DAN WAJIB

Fardhu dari segi bahasa ialah sesuatu yang jika dilakukan maka dapat pahala syurga dan sebaliknya tidak ada dosa. 

Wajib pula dari segi bahasa ialah sesuatu yang jika dilakukan maka akan dapat pahala dan jika tidak dilakukan akan mendapat dosa. 

Manakala makna dari sudut perbahasan istilah pula ulamak telah berselisih pandangan kepada dua pandangan:

Pandangan Pertama: Fardhu dan wajib adalah dua kalimah yang membawa satu pengertian. Maksud yang dikehendaki dengan dua perkataan itu ialah: Sesuatu perbuatan yang apabila ditinggalkan secara sengaja maka berdosa. Ia tidak dilihat hukum tersebut melalui dalil yang qat’ie atau dzanni. Ini adalah mazhab jumhur ulamak yang terdiri daripada kalangan Syafieah, Malikiah dan Imam Ahmad Bin Hambal. 

Pandangan Kedua: Lafaz fardhu dan wajib adalah dua lafaz yang berbeza dan memberi makna yang berlainan. Fardhu ialah sesuatu yang thabit dengan dalil qatie, manakala wajib melalui dalil dzanni. Pandangan ini adalah disandarkan kepada mazhab Hanafi. 

Melihat kepada pandangan jumhur maka fardhu dan wajib adalah dua lafaz yang memberi erti yang sama. Justeru tidak ragu-ragu lagi di dalam buku ini akan menggunakan lafaz fardhu sambil ia turut menjelaskan wajib. 


PEMBAHAGIAN FARDHU

Ulamak usul di dalam membincangkan pembahagian fardhu/wajib membuat beberapa sudut pembahagian. Profesor Dr Muhammad Ibrahim Hafnawi, Pensyarah Usul Fekah di Universiti Al-Azhar cawangan Tanta membuat pembahagian di dalam kitabnya kepada empat bahagian iaitu:

i. Dari sudut penentuan tuntutan (mu’aiyyan, mukhaiyyar) 
ii. Dari sudut kelakuan mukallaf (aini, kafaie) 
iii. Dari sudut waktu dilakukan (mutlak, muaqqat) 
iv. Dari sudut ketentuan (muhaddad, ghairu muhaddad) 


Perbincangan ini merujuk dari sudut kelakuan mukallaf adalah seperti berikut:

Fardhu Ain:

Fardhu ain bermaksud perkara yang wajib bagi setiap orang Muslim dan ia mencakupi dua perkara:

Pertama: Mengetahui kewajipan-kewajipan agama yang menjadikan akidah keimanan dan fardhu-fardhu yang ditetapkan oleh Islam itu sah. Ia berupa beriman kepada Allah, Malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, para Rasul-Nya, Hari Kiamat, dan ketentuan qadar yang baik dan jahat. Begitu juga rukun-rukun dan fardhu-fardhu sembahyang, zakat, puasa dan haji. Ini adalah apa yang dinyatakan di dalam hadith Ibn ‘Umar yang disepakati kesahihannya yang bermaksud:

“Dibina Islam itu atas 5 perkara: Menyaksikan bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan menunaikan fardhu haji bagi sesiapa yang mampu melakukannya. ”

Begitu juga mesti mengetahui usul-usul muamalat yang perlu dan mesti wujud di dalam kehidupan setiap orang Muslim untuk bertukar ganti manfaat barangan, menyuburkan kehidupan bermasyarakat dan menstabilkannya seperti halalnya jual beli, meminjam, bersyarikat, ketentuan perwarisan, juga hukuman-hukuman yang telah dinaskan terhadap jenayah seperti hukuman murtad, membunuh, zina, qazaf, mencuri, hirabah dan hukuman meminum arak. 

Kedua: Mengetahui perkara haram yang qat’i dan menafikan agama seperti syirik kepada Allah, pengharaman menderhaka kepada kedua-dua ibubapa, menipu, khianat, memakan harta dengan batil, riba, merampas, menipu (putar belit) , pengharaman membunuh, zina, qazaf, mencuri, minum arak, pengharaman mendedahkan aurat, wanita-wanita yang menjadi mahram di dalam perkahwinan, pengharaman memakan bangkai, memakan daging babi dan binatang yang disembelih untuk selain Allah kecuali bagi mereka yang terpaksa. 

Hukumnya Ke atas Mukallaf: Iltizam ke atas setiap mukallaf. Walaupun ditunaikan sebahagian tidak gugur ke atas sebahagian yang lain. 

Fardhu Kifayah:

Fardhu Kifayah ialah perkara yang apabila dilaksanakan oleh sebahagian manusia, maka gugurlah kewajipan terhadap manusia yang lain seperti mengetahui perkara secara terperinci tentang sesuatu fardhu ain, hukum-hukum cabangnya dan dalil-dalilnya daripada al-Quran, al-Sunnah, Ijmak dan qiyas ataupun dalil-dalil lain yang mengikutinya. Ini juga berkaitan tentang aspek peperangan, mengeluarkan fatwa, qudhah, khidmad perubatan, pembinaan perindustrian, kejuruteraan dan sebagainya. 

Perkara ini bukanlah sekadar perkara yang berkaitan dengan ilmu-ilmu syariah dan perkara-perkara yang bersangkutan dengannya, tetapi ia menjangkau kepada semua ilmu, kepakaran, pekerjaan dan sebagainya. 

Hukumnya Ke atas Mukallaf: Apabila ditunaikan sebahagian mukallaf maka terlerailah kewajipan ke atas yang lain. Akan tetapi apabila tidak ditunaikan langsung maka berdosa semua sekali. 

KEPENTINGAN MEMAHAMI FIKRAH FARDHU AIN DAN FARDHU KIFAYAH

Kepentingan untuk memahami fikrah kefardhuan adalah untuk beberapa tujuan. Antara tujuan yang sempat dituliskan di sini ialah:

i. Memahami tuntutan syara’ terhadap keutamaan perlaksanaan kefardhuan. 
ii. Perlaksanaan kefardhuan akan lebih sempurna. 
iii. Memahami aulawiyat kefardhuan. 
iv. Asas pembinaan peradaban. 
v. Mengukuh kekuatan jemaah dan masyarakat. 
vi. Pembangunan insan dari aspek rohani, madani dan keseimbangan di antara
semua aspek kehidupan. 

AULAWIYAT DI ANTARA FARDHU AIN DAN FARDHU KIFAYAH

Pertembungan di antara perkara Fardhu dan sunnah akan menyebabkan aulawiyat itu kembali kepada tuntutan fardhu. Ini kerana TIDAK berlaku perselisihan di kalangan ulamak bahawa perkara fardhu mesti didahulukan atas perkara yang hukumnya sunnah; tetapi
perkara-perkara yang fardhu itu sendiri memiliki berbagai peringkat. Justeru di antara Fardhu ain dan fardhu kifayah yang mana perlu didahulukan?

Dr Yusuf Al-Qardhawi di dalam perbincangan Feqhul aulawiyat berpandangan bahawa perkara fardhu ain perlu didahulukan berbanding perkara yang berkaitan fardhu kifayah. Pendapat ini berdasarkan kepada beberapa hujah di antaranya:

Ketika berjihad (berperang) menjadi fardhu kifayah (sebahagian umat Islam memadai untuk berjihad) maka melakukan kebaikan dan memberikan khidmat kepada kedua ibu bapa adalah lebih utama. Ini kerana memberikan khidmat kepada ibu bapa ketika itu adalah fardhu ain berbanding jihad yang hanya fardhu kifayah. Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Abdullah bin 'Amr bin Ash RA. berkata bahwa ada seorang lelaki yang datang kepada Nabi saw. Dia meminta izin untuk ikut berperang. Maka Rasulullah saw bertanya kepadanya, ”Apakah kedua orangtuamu masih hidup?”Dia menjawab, ”Ya. ”Rasulullah saw bersabda, ”Berjuanglah untuk kepentingan mereka. ”

Terdapat beberapa hadis yang lain yang turut menjelaskan tentang kedudukan fardhu ain yang lebih perlu diutamakan dari fardhu kifayah. 

KEFARDHUAN DI SUDUT ILMU

Menuntut ilmu itu adalah menjadi kefardhuan ke atas setiap muslim. Menurut Al-Imam Al-Ghazali, ilmu yang difardhukan ke atas muslim di dalam hadis tersebut ialah ilmu muamalah. 


Ilmu Fardhu Ain Dan Ilmu Fardhu Kifayah:

Al-Imam al-Ghazali telah menulis suatu bab tentang ilmu yang terpuji dan ilmu yang keji, bahagian-bahagian dan hukum-hukum kedua-duanya. Beliau menjelaskan apa yang fardhu ain dan apa yang fardhu kifayah. Dinyatakan di dalam bab ini di bawah tajuk”Penjelasan tentang ilmu fardhu kifayah”:

“Ketahuilah bahawa fardhu itu tidak dapat dibezakan daripada yang selainya melainkan dengan disebutkan bahagian-bahagian ilmu. Ilmu apabila disandarkan kepada fardhu yang akan kita bahagikan ini terbahagi kepada ilmu syariah dan ilmu yang bukan syariah. Maksud saya terhadap ilmu syariah ialah ilmu yang kita perolehi daripada para Nabi AS. Ia tidak dihasilkan oleh akal seperti ilmu perubatan dan juga tidak diperolehi melalui pendengaran seperti ilmu bahasa. Ilmu–ilmu yang bukan syariah terbahagi kepada ilmu yang terpuji, ilmu yang dikeji dan kepada ilmu yang diharuskan. 

Ilmu yang jadi fardhu kifayah ialah semua ilmu yang diperlukan untuk membangunkan urusan dunia seperti ilmu perubatan kerana ia adalah suatu keperluan untuk mengekalkan kesihatan tubuh badan manusia. Begitu juga dengan ilmu perakaunan kerana ia adalah keperluan di dalam hubungan muamalat, pembahagian wasiat, pewarisan dan sebagainya. Ilmu-ilmu seperti ini sekiranya sesebuah negeri tidak memilikinya maka penduduk negeri itu akan berada di dalam kesusahan. Apabila seorang daripada mereka memilikinya, maka ia sudah memadai dan jatuhlah kefardhuan daripada yang lain. 

“Janganlah merasa pelik daripada kata-kata kami bahawa ilmu perubatan dan ilmu perakaunan adalah termasuk dalam fardhu kifayah. Sesungguhnya ilmu tentang prinsip-prinsip perindustrian juga adalah termasuk fardhu kifayah seperti ilmu perladangan, tekstil dan pengurusan. Bahkan ilmu bekam dan menjahit juga adalah ilmu fardhu kifayah. Sekiranya suatu negeri tidak mempunyai tukang bekam, maka akan cepatlah kehancuran negeri tersebut dan mereka akan menghadapi kesusahan kerana mereka akan berhadapan dengan kehancuran. Sesungguhnya Tuhan yang menurunkan penyakit juga telah menurunkan ubatnya, menunjukkan cara penggunaan ubat tersebut dan menyediakan jalan-jalan untuk memperolihi ubat tersebut. Oleh itu tidak boleh menyerahkan diri kepada kerosakan dengan mengaibkan ilmu tersebut. ”

Manakala ilmu yang dianggap sebagai suatu kelebihan dan bukan kefarduhan adalah seperti mendalami perkara-perkara yang amat halus lagi rumit tentang ilmu matematik, hakikat-hakikat perubatan dan sebagainya yang tidak terlalu diperlukan. Tetapi ia memberi faedah untuk menambahkan kekuatan daripada kadar yang diperlukan. Ilmu yang dibenci ialah seperti ilmu sihir, ilmu hitam dan ilmu guna-guna. Dan ilmu yang diharuskan ialah seperti ilmu-ilmu syair yang berfaedah, ilmu-ilmu sejarah dan yang seumpamanya. ”

Pandangan Ulamak Terhadap Ilmu Fardhu Ain Masa Kini:

Al-Ustaz Said Hawwa telah mengemukakan pandangannya tentang persoalan ini di dalam kitabnya. Pandangan ini dibentangkan oleh beliau dengan meraikan beberapa aspek kefardhuan, ideologi-ideologi, pemikiran-pemikiran semasa dan kesan-kesannya terhadap akal, hati dan jiwa manusia. 

Ilmu-ilmu yang menjadi fardhu ain pada masa kini mengikut pandangan beliau ialah:

1. Mempelajari ilmu usul Fiqh untuk mengelakkan dari terjerumus ke dalam penolaka terhadap hukum-hukum Allah SWT dan mengelakkan dari terjatuh ke dalam cengkaman golongan ekstrimis. 
2. Mempelajari ilmu bahasa arab kerana tanpa pengetahuan tentang bahasa arab memudahkan untuk menjadi mangsa kepada golongan al-harfiyyin dan para pentakwil. 
3. Mempelajari ilmu-ilmu usul yang tiga iaitu tentang Allah, rasul dan Islam. 
4. Mempelajari ilmu-ilmu akidah supaya tidak menjadi mangsa golongan kesesatan (seperti muktazilah, Qadariah, Jabariah dan sebagainya) 
5. Mempelajari ilmu Fiqhul am secara umumnya dan fiqhul mazhab secara khusus. 
6. Menghafal apa yang terdaya dari Al-Quran dan bersungguh-sungguh di dalam membaca, memahami dan mengamalkannya. 
7. Menghafal dan membaca apa yang terdaya dari matan As-sunnah. 
8. Memahami Fiqhul dakwah dan harakah semasa. 
9. Mengetahui thaqafah islam moden/semasa sebagai pelindung daripada golongan bid’ah. 
10. Ilmu sejarah Islam dan umatnya. 
11. Pengetahuan tentang ilmu ketenteraan dan kaedah berperang sebagai persediaan untuk berjihad mempertahankan agama Allah SWT. 
12. Mempelajari ilmu-ilmu untuk membersihkan jiwa dan jalan menuju matlamat yang hakiki (Allah) . 

Ilmu-Ilmu Fardhu Kifayah Pada Masa Kini:

Mungkin boleh dibahagikan ilmu-ilmu yang menjadi fardhu kifayah pada masa kini kepada tiga kategeri:

i. Ilmu-ilmu yang diperlukan sebagai kelangsungan untuk memastikan berkekalannya dan berterusannya agama seperti ilmu Qiraat, Tajwid, Tafsir, Mustalah Hadis, Tauhid, Fekah dan sebagainya. 
ii. Ilmu-ilmu yang diperlukan di dalam gerak kerja dakwah dan amal Islami seperti Ilmu Sirah Para Nabi dan para Sahabat, Ilmu tentang wasilah dan uslub dakwah, keorganisasian dan sebagainya. 
iii. Ilmu-ilmu yang diperlukan untuk kemaslahatan umat Islam dan negara Islam seperti ilmu ketenteraan, pendidikan, perindustrian, pertanian, pentadbiran, pengurusan dan sebagainya. 


MEMAHAMI AULAWIYAT ILMU

Ilmu yang paling mulia ialah ilmu yang membawa hidayah kepada manusia dan sekaligus mengenaliNya dan mentauhidkan Allah. 
Al-Marasyi menyatakan:

“Ilmu yang paling penting ialah ilmu yang menjadi fardhu ain kepada setiap mukallaf sebelum perkara selainnya iaitu ilmu Tauhid dan yang berkaitan dengan I’tiqad. Kemudian ilmu tentang akhlak yang wajib ke atasnya dan yang diharamkan. Kemudian ilmu yang menjadi fardhu ain ke atasnya pada sesetengah waktu seperti ilmu solat dan puasa yang difardhukan pada tempoh waktu tertentu. Setelah kefardhuan terhadap dirinya selesai barulah seseorang mengetahui ilmu-ilmu yang menjadi fardhu kifayah ke atasnya ketika tidak ada seorang pun yang melaksanakan kefardhuantersebut. Kemudian barulah ilmu-ilmu tambahan yang disukai/mustahabbah dan tidak bertentangan dengan keharusan untuk mengetahui ilmu tersebut. Di antara contoh ilmu jenis ini ialah mengetahui tentang ilmu fardhu kifayah yang telah ada orang lain mendalaminya. ”


KEFARDHUAN DI SUDUT PERJUANGAN/ BERJIHAD
Jumhur ulamak telah bersepakat hukum jihad fi sabilillah adalah fardhu berpandukan dalil daripada Al-Quran dan As-Sunnah. Tetapi di sini kadang-kala hukumnya menjadi fardhu ain dan kadang-kala menjadi fardhu kifayah. 

Bilakah Jihad Menjadi Fardhu Kifayah?
Hukum jihad menjadi fardhu kifayah apabila dalam keadaan berikut:

- Tidak diperintahkan semua mukallaf pergi/keluar berperang
- Orang kafir tidak menawan tanah/negara orang Islam
- Ketika tentera muslimin sudah mempunyai kekuatan yang mencukupi, maka tidak perlu keluar semua untuk berperang. 

Bilakah Jihad Menjadi Fardhu Ain?
Ketika jihad menjadi fardhu ‘ain tidak boleh seorang pun muslim meninggalkan jihad. 
Antara sebab jihad menjadi fardhu ain ialah:

i) Ketika bertemu antara tentera Islam dengan tentera kafir. 
- Pada ketika ini haram bagi tentera Islam lari dari medan peperangan kerana hukum jihad ke atas tentera Islam pada ketika itu menjadi faardhu ‘ain. 
- Firman Allah:”Wahai orang-orang beriman apabila kamu bertemu dengan kumpulan kafir (ketika peperangan) maka teguhkanlah pendirian dan banyakknlah mengingati Allah. ”

ii) Jika Imam (pemerintah) memerintahkan orang Islam atau golongan tertentu untuk keluar berjihad. Ini bermakna apabila Imam memerintahkan golongan tertentu keluar berjihad maka perintah ini meliputi golongan lelaki dan wanita juga. 

- Apabila imam memerintahkan seseorang untuk keluar berjihad maka
menjadi fardhu ‘ain ke atasnya, sekalipun yang ditentukan itu adalah
wanita. 

Berkata Fuqaha’:
“Fardhu ‘ain dalam peperangan berlaku dengan penentu/arahan imam atas seseorang walaupun penentuan itu dibuat ke atas hamba atau wanita. Maka wajib keluar perang sekalipun ditegah oleh suami atau tuan. ”

iii) Seluruh rakyat diwajibkan oleh syara’ memerangi musuh Islam apabila:

- Kafir menyerang negara umat Islam atau merampas tanah Umat Islam mka ketika ini hukum menjadi fardhu ‘ain samada pemerintah yang memerintahkan untuk berperang itu adil atau tidak. 
- Perintah ini juga termasuk wanita. Wanita boleh keluar berjihad walaupun tanpa keizinan suami. Ini disebabkan waktu tersebut jihad menjdi fardhu ‘ain. Kefardhuan jihad menyamai solat dan puasa. Sebagaimana solat dan puasa mesti dilaksanakan tanpa keizinan suami maka amalah juga dengan jihad dalam konteks ini. 
- Begitulah juga halnya dengan wanita yang belum bersuami tidak perlu mintak keizinan walinya. Kalau si suami menghalang pada waktu itu maka berdosa. 

iv) Apabila Muslim atau muslimah menjadi tawanan kafir. 

Maka dalam hal ini menjadi fardhu ‘ain ke atas muslim yang mempunyai kekuatan untuk membebaskan tawanan daripada musuh. 

MEMAHAMI KONSEP AULAWIYAT

Sebagaimana pentingnya memahami konsep aulawiyat di dalam menuntut ilmu begitulah juga pentingnya memahami konsep tersebut di dalam berjihad. 

Untuk memahami dengan lebih mendalam sejauh mana aulawiyat jihad maka wajar melihat terlebih dahulu pembahagian jihad itu sendiri. Kemudian pembahagian tersebut mestilah diukur berdasarkan tuntutan dan maslahah umat Islam. 

PEMBAHAGIAN JIHAD

Perlu dijelaskan pembahagian jihad bukanlah merupakan pembahagian yang tetap. Ianya berubah-ubah mengikut ijtihad/pandangan para ilmuwan dan ulmak yang berlainan. maka penerimaan terhadap pembahagian tersebut perlulah diberikan perhatian agar tidak berlaku perselisihan. 

Di dalam buku ini hanya diutarakan dua pandangan terhadap pembahagian jihad. Iaitu pembahagian yang dibuat oleh Ibnu Qayyim Al-Jauziyah dan Al-Ustaz Said Hawwa. 

Ibnu Qayyim Al-Jauziyah menggunakan istilah berjihad menegakkan Islam dengan cara Islam iaitu dengan ungkapan Jihad. Beliau membahagikan jihad kepada empat bahagian iaitu:
1. Jihad menundukkan hawa nafsu meliputi 4 tahap:
•Berjihad dengan mempelajari ajaran agama Islam demi kebahagiaan dunia dan akhirat. 
•Jihad melaksanakan Ilmu yang diperolehinya itu, karena ilmu tanpa amal adalah tidak bererti dan bahkan membahayakan. 
•Jihad dengan berdakwah berdasarkan Ilmu yang benar dan amali yang nyata. 
•Jihad menekan diri agar sabar terhadap ujian dakwah berupa gangguan manusia
 (Empat hal inilah makna yang terkandung dalam surat Al-Ashr, yang kata Imam Syafi' seandainya Allah tidak menurunkan ayat kecuali Al-'Ashr, niscaya cukup bagi manusia) . 
2. Jihad melawan syaitan meliputi 2 hal:
•Jihad melawan pemikiran syaitan berupa syubhat dan keraguan-keraguan yang dapat merosakkan keimanan. 
•Jihad melawan syaitan yang membisikan agar terjerumus kepada syahwat/hawa nafsu. Caranya dengan sabar dan menahan diri atau dengan berpuasa. 
3. Jihad melawan kaum kufar dan munafiqin, melalui 4 tahap:
•Dengan Kalbu
•Dendan lisan
•Dengan harta
•Dengan tangan Jihad melawan kaum kuffar lebih utama dengan tangan, sementara terhadap kaum munafikin dengan lisan. 
4. Jihad melawan kezaliman, kemungkaran dan bidaah dilawan melalui tiga tahap:
•Dengan tangan kalau mampu, kalau tidak
•Dengan lisan, kalau tidak mampu
•Sekurang-kurangnya dengan hati
Al-Ustaz Said Hawwa pula di dalam kitabnya membahagikan jihad kepada lima bahagian iaitu:

i. Jihad dengan lisan
ii. Jihad ta’limi (pengajian) 
iii. Jihad dengan nyawa
iv. Jihad siyasi (politik) 
v. Jihad dengan harta

CABARAN-CABARAN DAKWAH

• Cabaran Islamophobia
• Cabaran Fahaman Sekularisme. 
• Cabaran Kuasa Politik yang Semakin Undemocratic
• Cabaran Undang-Undang dan Akta Draconian
• Cabaran Kepimpinan dan Pemimpin yang korup. 
• Cabaran Media Massa yang Tidak Bertanggongjawab dan Kurang Beretika
• Cabaran Pendidikan Sekular
• Budaya Barat
• Teknologi Informasi dan Telekomunikasi. 
• Kuasa Penjajah dan Zionist
• Kristianisasi
• Globalisasi
• Kuasa Agensi Agama yang disalahgunakan. 
• Kemiskinan dan Kepapaan. 
• Masyarakat Majmuk
• Kepelbagaian wadah dan wahana dakwah yang belum diselaraskan dengan berkesan. 
• Kekurangan Tenaga Manusia yang terlatih

LANGKAH-LANGKAH MENGHADAPI CABARAN

1. Seluruh Jentera informasi Islam perlu Berperanan
2. Dedahkan Kebatilan Fahaman Sekularisme
3. Memperkasa Perjuangan Melindungi amalan politik yang telus dan Demokratik
4. Mempastikan Kesaksamaan Undang-Undang dan Akta-Akta
4. Menyedia dan melantik Para Pemimpin yang Soleh bertakwa dan Amanah
5. Reformasi Media Massa
6. Memantap dan Meningkatkan Mutu Pendidikan Berteraskan Islam
7. Membentuk dan Mengamalkan Dasar Budaya yang Sihat
8. Meningkatkan Penguasan Teknologi Informasi, komunikasi dan lain-lain
9. Mengenalpasti Perancanaan dan tipu daya Penjajah dan Zionis
10. Mengukuhkan Jentera dan Agenda Dakwah Islam Menentang Dakyah
Kristianisasi. 
11. Bersama Menghadapi Positif dan Negatif Globalisasi
12. Reformasi Institusi dan Agensi Islam Kerajaan
13. Meningkatkan Kesentosaan, Membasmi kemiskinan dan Mengwujudkan
Peluang Pekerjaan. 
14. Memanfaatkan Aspek Positif Masyarakat Berbilang Kaum. 
15. Penyelarasan Kuasa NGO Islam
16. Mewujudkan Pusat Latihan Kepakaran dan Kepimpinan Islam yang Canggih


PERANAN KITA

Adalah wajar kita selaku bakal ulamak meletakkan matlamat perjuangan sebagai asas untuk seiring dengan keperluan masyarakat. Justeru perlulah kita menguasai beberapa kepentingan antaranya:
I. Menguasai semua bidang ilmu. Samada yang menjadi tuntutan dalam lingkungan fardhu ain atau fardhu kifayah dan thaqafah-thaqafah umum. 
II. Kepekaan terhadap persekitaran supaya mampu memberikan pandangan dengan tepat dan berautoriti terhadap maslahah umum. 
III. Memiliki sumber rujukan yang muktabar
IV. Pegangan akidah ahli sunnah wal jamaah untuk mengelak perpecahan dan perbezaan di dalam perkara usul. 
V. Sering menilai kadar dan keupayaan diri. 
PENUTUP
Tuntasnya, Ulama dan umara seharusnya duduk bersama merancang strategi menyediakan generasi pelapis yang bakal memperjuangkan misi agama. Ketiadaannya akan mematikan nadi umat. Tetapi, perlu diingat faktor paling utama penyebab kehancuran Islam ialah kejahilan umat terhadap agamanya dan ilmunya. Agama dan ilmu menjadi benteng terkuat untuk memenangi perjuangan kerana ia adalah asas penting penggerak paling hebat untuk melawan kezaliman dan kejahilan. Tanpa ilmu tidak ada orang sanggup mati membela Islam. Sesekali mereka tidak pernah takut mati bahkan mengharapkan syahid di jalan Allah. Mereka memandang dunia dengan harga yang murah dan memilih syurga yang kekal abadi di sisi Tuhannya. 

Mampukah kebangkitan Islam direalisasikan generasi mengikut telunjuk barat, berjiwa korup dan bernafsukan liberalis? Rasulullah SAW pernah meramalkan perkara ini dan tiada satu pun perkataan Baginda melainkan benar belaka:
“Kamu akan mengikuti jejak langkah umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehinggalah jika mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani? Nabi SAW bersabda: Siapa lagi kalau bukan mereka. ” (Hadis riwayat Muslim) . 

Disediakan oleh : Muhammad Ikhsan Bin Ahmad Roslan

Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com