Saturday, September 25, 2010

Tip Keluarga Sakinah Dan Bahagia

Perkahwinan merupakan sifat atau tabiat manusia yang cenderung untuk mengadakan hubungan sesama manusia. Allah swt. telah menjadikan hubungan perkahwinan sebagai Sunnah para Rasul di mana ianya akan melahirkan rasa saling cinta, sikap saling bekerjasama dengan kebaikan dan bantu membantu untuk mendidik keturunan. Melalui perkahwinan juga, manusia akan dapat mengembangkan keturunan dan memenuhi ketenteraman jiwa kerana perkahwinan yang harmoni dan sesuai menurut tuntutan Ilahi sebagai tempat untuk berehat jasmani maupun rohani. Perkahwinan merupakan peristiwa bersejarah di mana ianya tak mudah dilupakan bagi orang-orang beriman. IJAB - penyerahan tanggungjawab dari wali calon isteri kepada calon suami. QABUL- tanggungjawab dari calon suami atas penyerahan itu. Kalimah ini pendek namun mengandungi makna yang mendalam.

Perkahwinan merupakan ibadah. Islam mengatur tatacara nikah dan walimah dalam bentuk yang sangat sederhana. Hikmah walimah sesuai dengan tuntutan Rasulullah SAW ialah bertujuan untuk melaksanakan ibadah, menghindari daripada perbuatan membazir dan mengundang fakir miskin.

Islam mengajar agar keluarga dan rumahtangga menjadi pelabuhan yang aman, kukuh bagi setiap ahli keluarga. Membincangkan semua hal, baik gembira maupun kesulitan yang dihadapi. Rasa aman dan perlindungan yang dirasakan oleh anak dalam keluarga akan memberi kepadanya kepercayaam pada diri sendiri dalam menghadapi berbagai persoalan hidupnya. Ibubapa adalah orang pertama diharapkan dapat memberikan bantuan dan petunjuk dalam menyelesaikan masalah anak. Seorang ibu adalah lambang kasih sayang, ketenangan dan juga ketenteraman.

Firman Allah SWT yang bermaksud: " Kaum lelaki(suami) adalah pemimpin bagi kaum wanita (isteri) oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka atau atas sebahagian yang lain dan disebabkan kerana para suami telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu isteri yang soleh ialah yang taat kepada Allah, lagi memelihara diri ketika suaminya tidak di tempat (sebagai rasa syukur) kerana Allah telah memelihara mereka... " (An-Nisa':34)

Rasulullah SAW menghuraikan makna ayat di atas bahawa, lelaki yang paling baik akhlaknya adalah lelaki yang paling sayang pada isterinya. Baginda sendiri membantu isterinya dalam rumahtangga. Wanita yang paling baik aialah wanita yang menyenangkan hati suaminya apabila suaminya memandangnya. Taat bila disuruh dan pandai menjaga kehormatan dirinya dan harta benda suaminya di kala suami tiada di rumah.

Perkahwinan yang disyariatkan Islam. selain daripada sebagai keperluan fizikal, ia juga bertujuan supaya manusia mempunyai keluarga dan keturunan yang sah serta hidup bahagia di dunia dan akhirat. Perkahwinan adalah tugas menunaikan amanah Allah, maka baik suami maupun isteri, niat yang pertama adalah melaksanakan tanggungjawab kepada Allah.


(Dr. H. Ahmad Hasan Ridwan, M. Ag). Dari Abdullah bin Mas’ud. Ia berkata : “telah bersabda Rasulullah saw. kepada kami: Hai golongan orang-orang muda ! siapa-siapa dari
kamu mampu menikah, hendaklah ia menikah, kerana yang demikian lebih menundukkan pandangan mata dan lebih memelihara kemaluan; dan barangsiapa tidak mampu, makahendaklah ia bersaum, karena ia itu benteng bagimu”. (Muttafaq ‘alaih).

Telah termaktub di dalam Al-Quran perkataan “nikah” sebanyak 23 kali yang bererti “menghimpun”. Manakala perkataan “zawwaja” yang berulang tidak kurang dari 80 kali memberi erti “pasangan”. Pernikahan merupakan ketetapan ilahi atas segala makhluk :
“Segala sesuatu kami ciptakan berpasang-pasangan agar kamu menyadari (kebesaran Allah)” (al-Zariyat 51:49).

Berpasangan merupakan fitrah, sehingga Islam mensyariatkan terjalinnya sesuatu pertemuan yang membawanya kepada perkahwinan agar dijauhi segala kegundahan, kerisauan menjadi ketenteraman dan ketenangan iaitu sakinah. Sakinah berasal dari perkataan sakana yang bererti diam atau tenangnya sesuatu setelah bergelora. Itulah sebabnya mengapa pisau dinamai sikkin kerana ia adalah alat yang menjadikan binatang yang disembelih akan tenang, tidak bergerak, daripada ia meronta. Sakinah dalam perkahwinan adalah ketenangan yang dinamis dan aktif, tidak seperti kematian binatang.

Di dalam Al-Quran surah Al-Rum 21 dinyatakan : “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya adalah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikannNya di antara kamu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda bagi kamu yang mahu berfikir”. Ikatan perkahwinan diibaratkan seperti mahabbah (cinta), mawaddah, rahmah dan amanah Allah. Sebagai tali ikatan perkahwinan, cinta diisi mawaddah disusuli dengan rahmah dan dilengkapi dengan amanah.

Mawaddah tersusun dari huruf-huruf m-w-d-d-, yang maknanya berkisar pada kelapangan dan kekosongan jiwa dari perkara buruk. Cinta adalah tambahan kepada diri masing-masing. Bukankah yang mencintai, sesekali hatinya kesal sehingga cintanya pudar bahkan putus, tetapi yang bersemai dalam hati mawaddah, tidak lagi akan memutuskan hubungan seperti yang biasa terjadi kepada orang yang bercinta. Ini disebabkan kerana hatinya begitu lapang dan kosong dari keburukan sehingga pintu-pintu hatinya pun telah tertutup daripada diisi keburukan.

Rahmah adalah keaadan psikologi yang muncul di dalam hati akibat melihat kelemahan, sehingga mendorong perkara yang berkaitan untuk melemahkannya. Kerana itu dalam kehidupan kekeluargaan, suami dan isteri masing-masing akan bersungguh-sungguh, bahkan bersusah payah demi mendatangkan kebaikan bagi pasangannya serta menolak segala yang mengganggu dan merosakkannya.

Al-Qur’an telah menggariskan panduan bahawa hal-hal ini dalam rangka ikatan perkahwinan walaubagaimana hebatnya seseorang, ia pasti memiliki kelemahan, dan walau betapa lemahnya seseorang, pasti ada juga unsur kekuatannya. Suami isteri tidak boleh lari dari keadaan demikian, sehingga suami dan isteri harus berusaha untuk saling melengkapi antara satu sama lain.

“Isteri-isteri kamu (para suami) adalah pakaian untuk kamu, dan kamu adalah pakaian untuk mereka” ( al-Baqarah 2: 187) Ayat ini tidak hanya mensyaratkan bahawa suami isteri saling memerlukan sebagaimana keperluan manusia pada pakaian, tetapi juga bermaksud bahawa suami isteri yang masing-masing menurut kudratnya memilki kekurangan harus dapat berfungsi menutup kekurangan pasangannya, sebagaimana pakaian menutup aurat (kekurangan pemakainya).

Amanah. Perkahwinan adalah amanah yang harus dijalankan sebaik-baiknya.
“Kalian menerima istrei berdasarkan amanah Allah”. Amanah adalah sesuatu yang diserahkan kepada pihak lain disertai dengan rasa aman dari pemberinya kerana kepercayaanannya bahawa apa yang diamanatkan itu, akan dipelihara dengan baik, serta keadaannya aman di tangan yang diberi amanat itu. Isteri adalah amanat terhadap suami, kemudian suami pun haruslah amanah di pangkuan isteri. Tidak mungkin orang tua dan keluarga masing-masing akan merestui perkawinan tanpa adanya rasa percaya dan aman itu. Isteri kepada suami tersebut pula janganlah menjalinkan hubungan dengan suaminya tanpa ada perasaan aman dan percaya kepada pasangannya.

Persediaan seorang isteri untuk hidup bersama dengan seorang lelaki ialah meninggalkan orang tua dan keluarga yang telah membesarkannya, dan menggantikan semua itu dengan penuh kerelaan untuk hidup bersama lelaki asing yang menjadi suaminya, serta bersedia membuka rahasianya yang paling dalam. Semua itu merupakan hal yang sungguh mustahil, kecuali jika ia merasa yakin bahawa kebahagiaannya bersama suami akan lebih besar jika dibandingkan dengan kebahagiaannya dengan ibu bapa, dan pembelaan suami terhadapnya tidak lebih sedikit dari pembelaan saudara-saudara sekandungnya. Keyakinan inilah yang dicurahkan oleh isteri kepada suaminya dan itulah yang dinamai al-Quran mitsaqan ghalizha (perjanjian yang amat kukuh) (al-Nisa 4:21).

Rumah tangga teladan adalah rumah tangga yang didirikan di atas landasan takwa. Dengan mengikuti al-Quran dan Sunnah serta menjadikannya sebagai dasar keputusan bagi suami-isteri dalam menghadapi sesuatu masalah. Sebagai contoh ciri-ciri rumah tangga teladan ialah sesuatu rumah tangga teladan itu lapang dalam segala segi, baik secara moral maupun material, iaitu jauh dari sikap boros dalam segala kehidupan. Rumah tangga teladan sentiasa memperhatikan kebersihan rohani dan jasmani. Rumah tangga teladan berdiri di atas landasan yang kuat berupa ketenangan, cinta dan kasih sayang jauh dari pergaduhan dan permasalahan. Contoh rumah tangga yang baik ialah sentiasa memikirkan dan memberikan tempat tidur bagi anak-anaknya. Rumah tangga teladan adalah anggota-anggotanya saling bekerjasama dalam mengerjakan setiap pekerjaan. Rumah tangga teladan sangat menitik beratkan pendidikan bagi anak-anaknya, baik dari segi pendidikan fizikal, akal, rohani dan masalah psikologi.

Sebagai contoh suami dan isteri yang baik dijelaskan sebagai berikut : Nabi Muhammad saw. sebagai suami dengan kewibawaan dan karismanya tidak menjadi penghalang untuk bergurau dan bercanda Baginda sering membantu pekerjaan isterinya dalam hal rumah tangga. Baginda juga sentiasa setia kepada isterinya. Sentiasa bertindak waras terhadap isterinya dan baginda bersikap adil kepada isterinya dengan sentiasa menampakkan senyumannya dengan penuh kelembutan.

Seterusnya contoh suami teladan boleh dikatakan seperti bersikap jujur, pandai bergaul, bersopan santun, menyimpan rahsia keluarganya dan selalu gagah dan tampan di depan isterinya. Manakala isteri teladan adalah isteri yang sentiasa berketerampilan kemas dan bersih di depan suaminya dan menjaga kebersihan. Isteri teladan adalah seorang wanita yang taat kepada Allah swt. dan menunaikan permintaan suaminya sendiri. Isteri jeladan itu juga perlulah memelihara harta, mendidik anak-anak dan menyimpan rahsia keluarga. Isteri teladan sentiasa rela dalam menerima pemberian suami, baik sedikit maupun banyak.
Isteri teladan juga bercirikan seperti pandai mengatur urusan rumah tangga dan membelanjakan harta dengan sebaik-baiknya. Contoh-contoh yang seterusnya ialah isteri yang berakhlak baik, isteri yang pandai bergaul dengan pihak keluarga suami, isteri yang selalu menghormati perasaan suaminya, dan isteri yang selalu mensyukuri kebaikan suaminya.

Tip rumahtangga yang bercirikan syurga ialah meningkatkan ilmu pengetahuan pada seisi rumah itu dengan penghayatan agama yang berterusan. Memastikan seisi rumahtangga dalam keadaan sihat sejahtera dan aman damai. Perlu adanya pengukuhan ekonomi bagi memastikan keluarga tidak porak peranda. Seterusnya komunikasi yang cemerlang penting bagi mewujudkan suasana yang harmoni dan bahagia sekali gus wujudnya kemesraan antara suami dan isteri bagi melahirkan suasana rumahtangga yang selesa.

Tip komunikasi keluarga cemerlang adalah seperti berikut; berkongsi melakukan tugasan di rumah, berbincang dalam membuat perancangan sesama ahli keluarga atau sebelum membuat keputusan yang memberi kesan kepada keluarga, menggunakan humor yang bersesuaian untuk mengurangkan ketegangan yang disebabkan oleh konflik yang mungkin berlaku, meraikan hari ulangtahun perkahwinan dan hari lahir bersama ahli keluarga, makan malam bersama, beribadah secara berjemaah dan riadah bersama keluarga atau membawa keluarga pergi bercuti di tempat yang bersesuaian.

Tip komunikasi ke arah meningkatkan kasih sayang berkekalan ialah berkongsi impian dan tugasan di rumah, tidak mudah dan tidak sesekali merasa kecewa walaupun menempuh cabaran dan masalah dalam rumahtangga, tidak berdendam-kesumat antara satu sama lain, sentiasa memohon maaf dan memaafkan kesilapan masing-masing, sentiasa mencari emas dalam diri pasangan dan menganggap pasangan sebagai kawan yang paling akrab. Manakala sentiasa bersolat jemaah dan saling doa mendoakan pasangan, berterus terang mengenai perselisihan yang kecil untuk mengelakkan konflik yang lebih besar, memahami kepentingan hubungan seks dan mencari perubahan untuk merangsang perubahan dalam rumahtangga.

Tip komunikasi cemerlang, gemilang, terbilang pasangan suami isteri ialah berdoa kepada Allah SWT untuk sentiasa disayangi oleh pasangan, sentuh dan tegur pasangan sebelum menyambung kerja lain apabila pasangan balik ke rumah, berlatih untuk menjadi pendengar yang baik, memberi pujian kepada pasangan mengenai penampilan masing-masing dan memberi galakan kepada perubahan yang cuba dibuat oleh pasangan, memujuk apabila pasangan marah atau berkecil hati, ucapkan kata-kata syang atau romantik dua kali sehari, memberi perhatian terhadap perkara yang disampaikan oleh pasangan dengan tekun, peluk pasangan dengan penuh kasih sayang tujuh kali sehari, ucapkan terima kasih atas setiap khidmat yang diberikan oleh pasangan dan sentiasa memastikan bilik tidur dalam keadaan kemas seperti baru berkahwin.

1 comment:

  1. assalamu'alaikum warahmatullah..
    saya saangat suka post ni :-)
    jazakumullahu kheyr aljazaa'

    ReplyDelete